Toyota akan panggil semula 3.4 juta kereta kerana masalah beg udara

Adea Ghafar 23-Jan-2020
Toyota
Sebuah kereta Toyota di bandaraya New York © Tupungato - Dreamstime.com

Sejumlah 3.4 juta kenderaan berjenama Toyota di seluruh dunia akan dipanggil semula akibat masalah elektronik yang boleh menyebabkan tidak berfungsinya beg udara ketika kemalangan. Kenderaan-kenderaan terlibat disyaki mempunyai unit kawalan elektronik yang tidak mempunyai perlindungan mencukupi terhadap hingar elektrik yang biasa terjadi dalam kemalangan.

Ini seterusnya boleh menyebabkan beg udara tidak berfungsi dan turut menjejaskan fungsi tali pinggang keledar. Kumpulan model-model kenderaan Toyota yang termasuk dalam panggilan semula itu adalah model 2011-2013 Matrix, 2011-2019 Corolla, 2012-2018 Avalon dan 2013-2018 Avalon Hybrid yang telah dikaitkan dengan satu kemalangan maut. Daripada jumlah keseluruhan panggilan semula, 2.9 juta kenderaan adalah di Amerika Syarikat (AS).

Pentadbir Keselamatan Lalu Lintas Amerika Syarikat (NHTSA) pada bulan April  telah memperluaskan penyelidikan ke atas 12.3 juta beg udara yang berpotensi mempunyai masalah. Penyelidikan ini merangkumi pelbagai pembuat kereta dan salah satu daripadanya ialah Toyota. NHTSA telah mengenal pasti dua kejadian kemalangan yang salah satu daripadanya adalah kemalangan maut.

Kemalangan maut itu melibatkan produk Toyota Corolla model baru dengan beg udaranya yang tidak berfungsi. Sementara itu, Toyota enggan menyatakan jumlah kematian atau kecederaan yang dikaitkan dengan masalah itu. Namun begitu, Toyota akan memaklumkan semua pemilik kenderaan berhubung panggilan semula itu pada pertengahan Mac.

Secara keseluruhan, lapan kematian telah dikaitkan dengan masalah yang sama. Menurut siasatan NHTSA, beg udara yang disiasat telah dipasang dalam 12 juta kenderaan (2010 hingga 2019) dari jenama Toyota, Fiat Chrysler, Honda, Hyundai, Kia dan Mitsubishi. Beg udara terbabit dilengkapi unit kawalan beg udara yang dihasilkan oleh TRW Automotive Holdings Corp dan kini dimiliki oleh ZF Friedrichshafen.

Bagi kenderaan-kenderaan berjenama Hyundai, Kia dan Fiat Chrysler, ketiga-tiganya sebelum ini telah memanggil semula lebih daripada 2.5 juta kenderaan disebabkan masalah yang sama, iaitu unit kawalan airbag TRW yang mungkin tidak berfungsi dalam kemalangan.