Tradisi di bulan Ramadan: mengamalkan tadarus al-Quran

Al-Quran Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Tradisi di bulan Ramadan: mengamalkan tadarus al-Quran
Tradisi di bulan Ramadan: mengamalkan tadarus al-Quran © Odua | Dreamstime.com

Al-Quran adalah kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Pada bulan Ramadan ini, pengisian rohani seperti memperbaiki dan menambahbaik ilmu al-Quran perlu diisbatkan lagi.

Mewujudkan sesi tahsin, tadabbur dan tadarus al-Quran bersama keluarga amatlah dianjurkan dalam Islam. Allah SWT menjanjikan segala amalan yang dikerjakan pada bulan Ramadan akan memperoleh pahala yang berlipat kali ganda.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) ialah sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”

(Surah Fathir, ayat 29)

Ajarkan anak-anak sejak kecil, Al-Quran adalah syafaat 

Imam al-Ghazali berkata:

“Hendaklah anak kecil diajarkan dengan al-Quran, hadis dan sejarah orang soleh kemudian hukum Islam.”

Ia adalah amanah daripada Allah Taala kepada semua ibu bapa dalam mendidik anak. Sesuai dengan peribahasa ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ memberi refleksi perlunya al-Quran diajar di peringkat awal kanak-kanak.

Ia untuk membentuk asas dan teras keutuhan iman. Terus menghidupkan budaya membaca al-Quran di rumah terutama pada bulan Ramadan ini. Galilah kelebihan dan kejarlah fadhilat memperkasakan ilmu bacaan al-Quran di bulan yang mulia ini.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara serta menjaganya.”

(Surah Al-Hijr, ayat 9)

Daripada Abu Umamah r.a, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Dengan membaca al-Quran, ia akan menjadi syafaat pada hari akhirat kelak. Ia akan menjadi pembela, memberi ketenangan dan kebaikan dalam kehidupan seseorang.

Baca Al-Quran dengan tartil dan ibu bapa sebagai contoh

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bacalah al-Quran dengan ‘tartil’ (perlahan-lahan).”

(Surah Al-Muzammil, ayat 4)

Daripada Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan ‘Alif Laam Mim’ satu huruf akan, tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” 

(Hadis riwayat al- Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Akhlak yang ditunjukkan ibu bapa itu perlu menjadi sebaik-baik contoh kepada anak. Mereka ini ibarat kain putih dan ibu bapalah mencorakkannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amalkan satu muka satu hari, jadikan amalan

Jadikan waktu menunggu solat Isyak atau selepas Subuh sebagai waktu eksklusif untuk sama-sama talaqqi dan tasmi’ bersama keluarga. Amalkan sekurang-kurangnya satu muka satu hari untuk memperbaiki bacaan supaya lebih mahir.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, berkata yang bermaksud:

“Telah berkata kepadaku Rasulullah SAW: Bacalah (al-Quran) kepadaku. Aku berkata: Aku baca kepadamu sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada engkau? Rasulullah SAW bersabda lagi: Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada orang lain. Maka aku pun membaca Surah An-Nisa’ sehingga aku sampai pada ayat ‘Maka bagaimanakah (keadaan orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (rasul mereka sendiri untuk menjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami juga datangkan kamu (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?’ Rasulullah SAW bersabda: Cukup. Dan aku berpaling kepada Rasulullah SAW lalu aku melihat mata Rasulullah sedang berair (menangis).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada hadis al-Bukhari ini jelas menunjukkan Nabi SAW menangis apabila mendengar bacaan Abdullah bin Mas’ud r.a, seorang sahabat utama dan banyak sumbangan kepada al-Quran.

Daripada Uthman bin Affan r.a:

“Andai hati kalian bersih maka kalian tidak akan pernah rasa kenyang (bosan) membaca al-Quran.”

Natijahnya, jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dan surat cintamu sepanjang masa seperti kata-kata Hassan al-Basri:

“Orang sebelum kalian melihat al-Quran sebagai surat cinta daripada Rabb-Nya, direnungi pada malam hari, diamalkan pada siang harinya.”

Bacalah al-Quran walaupun satu muka surat setiap hari kerana ia memberi petunjuk ke jalan yang benar. Sabda Rasulullah SAW:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya (sunah Rasulullah SAW).”

(Hadis riwayat Malik)

Semoga bulan Ramadan Al-Mubarak ini membawa kita kepada seribu satu keberkatan dengan menambah lagi amalan tadarus Al-Quran.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.