Tradisi menentang salah guna kuasa zaman Nabi?

Kepercayaan Taufiq Sugeng 23-Jun-2020
Sekitar 2011 di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir © Ayman Zaid | Dreamstime.com

Umat Islam di seluruh dunia dibebani dengan pelbagai bentuk penindasan, sama ada sekatan agama, pemerintah yang kotor dengan rasuah atau alat kekejaman. Kian ramai Muslim berarak di jalan-jalan raya membantah dan menuntut keadilan. Ini bukanlah femonena yang baru.

Revolusi kebangkitan di negara-negara Arab atau Arab Spring yang bermula di Tunisia pada awal 2010-an merupakan contoh yang ketara dalam sejarah bantahan umat Islam terhadap rejim dan kuncu-kuncunya yang menindas. Siri pemberontakan pro-demokrasi ini telah menyelubungi beberapa negara Islam termasuk Maghribi, Syria, Libya, Mesir dan Bahrain.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, bantahan terhadap undang-undang kerakyatan India yang baru atau pergerakan Palestin untuk mendapat kemerdekaan dari rejim Israel terbit dari sejarah bantahan umat Islam terhadap ketidakadilan. Malah, boleh dikatakan tradisi bantahan ini bermula dari Rasulullah SAW sendiri.

Sebelum kedatangan Islam, padang pasir di merata tanah Arab didiami oleh pelbagai kabilah. Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam sebuah kabilah yang bernama Quraish. Kaum ini memerintah Makkah dan dengan itu menguasai perdagangan terutama di musim perayaan. Sebelum kedatangan Islam, ramai jemaah membuat perjalanan ke Makkah. Kaum Quraish begitu gigih untuk menambah harta sebanyak mungkin. Ada persamaan dalam konteks hari ini?

Masyarakat yang dibina oleh kaum Quraish, dan kawasan sekeliling yang mereka diami penuh dengan perbalahan. Timbul pula jurang yang kian meningkat antara yang kaya dan yang miskin, bertambah dengan pesat jumlah hamba abdi, dan peperangan yang kerap meletus antara puak-puak yang mahu merebut kekuasaan politik and ekonomi.

Rasulullah SAW menamakan zaman ini sebagai zaman jahiliah, zaman yang penuh dengan kesesatan.

Islam lahir dalam situasi ini. Ramai pengikut awal Nabi kita yang mulia merupakan golongan yang diketepikan dan miskin: antara lain bekas hamba abdi, pengemis, dan mereka yang terlepas dari siksaan. Rasulullah SAW mengajar pembentukkan masyarakat yang adil, dengan menekankan kita semua sama di sisi Allah SWT. Antara perkara pertama yang diharamkan oleh Islam adalah riba, perbuatan mengenakan faedah yang terlalu tinggi dalam pinjaman wang. Ini sering digunakan ketika menjual beli hamba.

Penyebaran Islam membawa kedamaian antara kabilah-kabilah di rantau ini. Ia merupakan revolusi dalam arena politik kaum Arab, pengalihan yang radikal, dari kabilah kepada konsep ‘Ummah’. Rasulullah SAW melalui pelbagai rintangan yang hebat dalam perjuangannya. Baginda dibenci dan sering berdepan dengan keganasan dari ahli-ahli kabilahnya sendiri yang menolak mesej beliau.

Kisah zaman jahiliah ini mungkin sudah kita ketahui. Perebutan harta dan peperangan tetap wujud dalam abad ke 21 yang dikuasai oleh sistem kapitalisme. Sering kali kita membaca berita tentang letupan bom, dan sengketa ketenteraan, dan jurang yang semakin luas antara yang kaya dan miskin. Berita hari ini dipenuhi dengan masalah yang kita anggap sebagai satu kebiasaan.

Pergerakan bantahan umat Islam hari ini sering disifatkan sebagai keganasan. Sebagai contoh, perjuangan kaum Kurdi dan bangsa Palestin untuk mendapat kewarganegaraan kerap menghadapi rintangan di Turki dan Israel. Malangnya ini sering dilaporkan di media sebagai tindakan keganasan. Malah ada sekelompok umat Islam yang menyokong pandangan ini.

Hakikatnya, tidak salah kita sebagai Muslim memperjuangkan dan membantah apa jua keganasan dan penindasan. Kita seharusnya menyokong umat Islam di seluruh dunia, tidak kira di Palestin, India atau di mana sahaja saudara kita mengalami penindasan.

Kita wajar memberi sokongan kepada perjuangan sebenar seperti ini kerana mereka meneruskan tradisi lama membantah salahguna kuasa dalam Islam yang antara lain, telah dipelopori oleh Rasulullah SAW sendiri.