Tradisi ziarah di pagi Syawal

Budaya Hanita Hassan 23-Mei-2020
Ziarah Syawal © Odua | Dreamstime.com

Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini agak berbeza.  Kita meraikan Hari Lebaran  dalam situasi pandemik COVID-19.  Kita perlu mengikut tata cara operasi piawai (SOP) yang ketat dengan mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan menyediakan cecair pembasmi kuman.

Mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah memutuskan perkara ini dengan had maksimum 20 orang dalam satu masa.   Dengan arahan dan peraturan ini, kita berasa lega kerana boleh melakukan aktiviti ziarah kepada kaum keluarga.

Budaya ziarah sudah menjadi kemestian di pagi Syawal selepas kita melakukan solat sunat Aidilfitri. Biasanya kita mulakan dengan menziarahi jiran sebelah. Kemudian keluarga yang tinggal berdekatan serta ibu bapa di kampung.

Aktiviti ziarah akan membentuk satu ikatan kasih sayang sekali gus mengeratkan hubungan sesama insan.  Ini kerana asal kejadian manusia daripada keturunan yang sama iaitu Nabi Adam.

Islam menggalakkan umatnya menghubungkan silaturahim. Sewaktu kunjungan di hari raya, kita boleh mengeratkan ikatan tanpa memikirkan perbezaan politik, kedudukan mahupun pangkat.

Kita diajar supaya saling kenal-mengenali antara satu sama lain, hormat-menghormati, bekerjasama dan faham-memahami.  Sepertimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Wahai umat manusia!  Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).  Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai tetamu, Islam amat menitikberatkan agar umatnya menjaga niat berziarah.  Hendaklah berniat baik dan tidak memilih tempat seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi sahaja.

Begitu juga dengan waktu berkunjung, kita digalakkan untuk memilih masa yang sesuai.   Cuba elakkan berkunjung pada awal pagi, di waktu tengah hari dan larut malam.  Kebiasaannya  pada waktu itu tuan rumah sedang beristirahat.

Kita juga perlu menjaga adab dan tingkah laku.  Dalam masa yang sama, jaga mata, elakkan meninggi suara dan bersegera pulang. Anugerah takwa yang diraih menerusi tarbiah Ramadan sewajarnya menjadi pembimbing untuk kita mengekalkan semangat Ramadan bagi menempuhi hari-hari seterusnya.

Firman Allah SWT:  “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu:  Demi sesungguhnya!  Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Marilah sama-sama kita meriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang buat masa ini, dengan aktiviti ziarah yang dibenarkan oleh kerajaan. Kita hargai kaum keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.  Kita tingkatkan pahala selagi peluang masih ada untuk menjadi orang yang lebih bertakwa.