Transaksi tanpa tunai meningkat ketika PKP

Perniagaan Chan Abdullah 12-Mei-2020
Transaksi tanpa tunai © Siraj Ahmad | Dreamstime.com

Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah bermula sejak 18 Mac 2020 yang lalu telah mengubah banyak norma yang baharu dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Cara bekerja kita sudah berubah, malah cara kita membeli barang-barang keperluan turut berubah.

Jika dahulu, transaksi tanpa tunai masih kurang digunakan. Namun, semenjak tempoh PKP, penggunaan transaksi tanpa tunai ini semakin meningkat dengan pesatnya. Sebelum PKP, masih ramai yang memilih untuk tidak menggunakan transaksi tanpa tunai kerana bimbang tentang isu keselamatan dan kurang selesa.

PKP yang dilaksanakan sehingga 9 Jun 2020 ini bakal menjadi medan terbaik kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang menggunakan transaksi tanpa tunai sebagai kelaziman baru. Pemilihan transaksi tanpa tunai bertepatan dengan arus norma-norma baharu, termasuk mengurangkan sentuhan sewaktu pembayaran. Ini dapat mengurangkan risiko pemindahan virus COVID-19 sewaktu urusan jual beli.

Pelopor industri bank di Malaysia, Maybank menyaksikan peningkatan penggunaan e-dompet MAE, yang membolehkan pengguna untuk membayar barang pembelian dengan cara mengimbas kod QR melalui telefon pintar. Kadar pendaftaran terhadap e-dompet MAE itu dilihat berganda sejak PKP bermula.

Penggunaan e-dompet dan pembayaran tanpa sentuhan membolehkan penjarakan sosial dapat ditinjau kerana pelanggan boleh mengimbas dan membayar di kaunter bayaran, hanya menggunakan telefon pintar tanpa perlu mengendalikan wang kertas. Jadi, dengan cara itu dapat meminimumkan pengendalian fizikal dan potensi penularan virus, tegas Kalyani Nair, ketua Perbankan Maya Kumpulan Maybank.

Transaksi tanpa tunai melalui perkhidmatan GrabPay Malaysia juga turut meningkat sekitar 1.7 kali sejak PKP. Satu kaji selidik oleh Commerce.Asia, ekosistem teknologi dan penyelesaian data raya e-dagang, menyaksikan pertumbuhan Jumlah Dagangan Kasar (GMV) melonjak sebanyak 149% tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 sejak PKP bermula. Menurut Pengasasnya,  Ganesh Kumar Bangah, e-dagang terus menjadi satu daripada segelintir industri yang berkembang maju semasa PKP, apabila mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama 2020.

Sepanjang PKP ini, rata-rata rakyat Malaysia makin selesa dan yakin untuk menggunakan transaksi tanpa tunai dalam urusan jual beli. Inilah sebahagian daripada kemajuan teknologi yang baik dan mesra pengguna yang amat dialu-alukan. Norma baharu transaksi tanpa tunai ini juga terbukti selamat dan lebih berkesan dalam membantu mengurangkan risiko penyebaran virus COVID-19.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!