Transisi Mark Adam

Selepas Alif Satar menjadi selebriti lelaki pertama menghiasi Wajah Salam, kini kami tampilkan pula Fikri Mark Adam Abdullah atau Mark Adam untuk edisi kali ini. Pemilihan selebriti ini dirasakan ideal sempena kehadiran tahun baru Islam, Awal Muharram pada penghujung minggu ini.

Selepas tarikh, lokasi dan waktu dipersetujui akhirnya sesi fotografi dilaksanakan penghujung Julai lalu. Benar bagai yang dikata, Mark masih tidak berubah. Dia adalah lelaki yang sama ketika di awal kemunculannya dahulu. Populariti sama sekali tidak membuatkan dia mendongak ke langit.

Sepanjang sesi fotografi itu, Mark memberikan kerjasama yang baik.  Malah, dia dilihat begitu teruja menggayakan fesyen yang bukan menjadi persalinan kebiasaannya. Sesekali Mark meminta isteri yang juga merangkap pengurusnya, Ezan merakam video atau foto ketika dia sedang beraksi di hadapan kamera.

Siapa pula Mark Adam di mata anda? Adakah anda melihat dia sebagai seorang penyanyi, pelakon atau pelawak? Atau anda sebenarnya langsung tidak mengenali lelaki berusia 40 tahun ini?

Tak kenal maka tak cinta bukan? Jadi tak salah untuk SalamToday memperkenalkan lelaki ini kepada anda. Mark Adam merupakan seorang selebriti yang memulakan kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi. Lagu ‘Pencuri,’ ‘Si Katak’ dan ‘Marry Me’ antara lagu-lagu yang memperkenalkan dia kepada peminat muzik tempatan.

Namun, masa mengubah segalanya. Lelaki Filipina yang menetap hampir 20 tahun di Malaysia ini akhirnya turut terjebak dalam dunia lakonan.  Kemunculan di kaca televisyen sering mencuit perasaan. Dengan gaya selamba, Mark tidak pernah gagal menghiburkan hati penonton.

Pesonanya sebagai pelakon komedi sukar dinafikan. Tiap kata-kata yang keluar daripada mulut lelaki ini bagaikan magnet yang mengumpan gelak tawa penonton. Itulah keistimewaan Mark, dia tidak perlu bersusah-payah, hanya menjadi diri sendiri.

 

 

Mengulas lebih lanjut tentang perjalanan kariernya yang kini dilihat condong kepada lakonan, Mark memberitahu dia bersyukur kerana Allah membuka jalan untuk dia mencuba bidang lakonan. Baginya itu satu kesempatan yang cukup berharga.

“Memang saya bermula sebagai penyanyi, it’s my passion. Tetapi saya tidak mungkin mengatakan tidak kepada cabang seni lain. Saya bersyukur kerana Allah membuka jalan untuk saya mencuba bidang lakonan. Ia adalah rezeki. Ketika karier nyanyian saya berada dalam situasi tidak memberangsangkan, Allah buka peluang lain kepada saya. Jadi, saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Sebagaimana saya mahu yang terbaik untuk nyanyian, saya juga mahu lakukan perkara yang sama untuk lakonan,” ujar Mark menyusun bicara.

Terlanjur mengakui kerjaya nyanyian agak perlahan ketika ini, Mark ditanya adakah dia tersilap percaturan ketika menghasilkan single terbarunya ‘Amnesia’ pada awal Januari lalu.

“Saya tidak mahu mengatakan ‘Amnesia’ adalah satu kesilapan. Saya percaya peminat saya menyukai lagu-lagu tersebut. Tetapi mungkin ketika ini ada penyanyi lain yang mendapat lebih perhatian peminat muzik tempatan. Hidup ini bagaikan roda. Ada masa kita berada di atas, dan ada masanya kita berada di bawah. Saya percaya muzik saya masih ada peminatnya. Saya tidak melihat situasi ini sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana saya percaya saya masih ada tempat di hati peminat,” ujar Mark penuh keyakinan.

Dalam masa yang sama, Mark menegaskan dia bukanlah seorang individu yang sentiasa mahu bersaing dengan individu lain. Baginya tidak perlu membanding-bandingkan diri sendiri dengan orang lain kerana setiap insan punya keistimewaan sendiri.

“Saya percaya setiap individu punya keistimewaan tersendiri. Jadi mengapa perlu bersaing dengan orang lain? Dalam hidup ini, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita ada. Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa. Sebaliknya, saya terima apa sahaja yang Tuhan telah tentukan untuk hidup saya. Sebagai hambaNya, tugas kita adalah untuk melakukan yang terbaik untuk semua perkara yang kita mahu lakukan,” ujar Mark berkongsi rasa.

 

 

Takdir Hidup

Dilahirkan sebagai Marcus Adam Macaraig Echivarre pada 15 Oktober 1979, di Cebu, Filipina, Mark asalnya merupakan penganut Kristian Katolik. Namun, takdir hidupnya berubah setelah berhijrah ke Malaysia. Menginjak ke usia 23 tahun, Mark akhirnya mengucap dua kalimah syahadah. Bukan kerana mahu berkahwin dengan wanita pilihan, tetapi kerana hatinya telah terpaut dengan Islam.

Mengimbas kembali detik-detik penghijrahannya ke agama Islam, Mark dengan rendah diri mengakui dia sangat-sangat bersyukur kerana mendapat hidayah daripada Allah.

“Saya percaya semua yang berlaku adalah takdir. Allah sudah tentukan perjalanan hidup saya. Saya sudah memeluk Islam selama 17 tahun. Persepsi saya tentang Islam adalah ia sebuah agama yang memberikan ketenangan dan mempunyai logik. Kenapa saya katakan logik? Ini kerana semua yang diperintahkan dan semua perkara yang akan berlaku pada masa akan datang sudah dijelaskan di dalam Al-Quran.

“Sebelum saya memeluk Islam, saya melihat Islam itu sebagai agama yang sangat dahsyat, negatif, malah menganggap orang-orang Islam adalah gila kerana itu gambaran yang dipertontonkan di stesen-stesen televisyen Filipina. Namun, sebaik saya datang ke Malaysia, persepsi saya tentang Islam telah berubah.”

“Saya bertemu dengan seorang lelaki yang sangat baik. Dia sentiasa membantu saya yang ketika itu tidak punya sesiapa di sini. Akhirnya kami berkawan baik. Bagi saya dia adalah manusia paling baik yang pernah saya temui, dan dia beragama Islam. Kemudian hati saya terdetik dengan persoalan, takkanlah dia pergi ke neraka, dan saya pergi ke syurga? Sedangkan saya lebih teruk daripada dia.”

“Pada waktu itu juga saya mula mengenali isteri saya, Ezan (Norazah Redzuan). Saya lihat dia juga punya perwatakan yang baik. Saya tertarik untuk mengenali Islam selepas mengenali kedua-dua individu ini. Kebaikan mereka membuatkan saya mahu mencari jawapan tentang Islam. Ketika mempelajari tentang Islam, saya mengajak Izan berkahwin dan sehingga ke hari ini saya tidak pernah berhenti belajar,” ungkap Mark yang juga menghadiri kuliah-kuliah agama anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

 

 

Ditanya tentang penerimaan keluarga, Mark memberitahu keluarganya menerima keputusannya untuk memeluk Islam dengan baik. Tidak ada yang menentang. Jelas Mark, ibu dan ayahnya mahu melihat dia gembira.

“Pada mulanya memang mereka tidak faham, tetapi selepas mereka bertemu dengan isteri saya, mereka mula mengerti. Macam yang saya katakan tadi, mereka yang berada di Filipina mengganggap Islam sebagai sesuatu yang dahsyat dan mendatangkan kemudaratan. Tetapi selepas mereka bertemu Ezan dan melihat sendiri perwatakkannya, pandangan mereka pun berubah.”

“Ibu atau ayah saya jarang bertanyakan tentang Islam, tetapi ada seorang pakcik saya yang suka bertanyakan hal-hal berkaitan Islam. Saya dengan hati terbuka cuba memberi penjelasan tentang Islam dan kini saya melihat penduduk kampung saya sudah mula terbuka dengan Islam.”

Semenjak kecil, saya memang tidak pernah berjumpa dengan orang Islam di kampung dan saya juga tidak pernah tahu tentang tudung. Tetapi saya dapati sekarang sudah ada sebuah keluarga Muslim yang menetap di kampung saya. Mencari makanan halal juga sudah tidak sesukar dahulu kerana penduduk kampung sudah tahu tentang makanan halal,” ujar Mark yang mengakui sejak bergelar seorang Islam gaya hidupnya juga turut berubah.

“Apabila saya nekad menjadi seorang Islam, sudah semestinya saya perlu mengubah gaya hidup. Kehidupan saya tidak sama lagi seperti dahulu. Saya tinggalkan perkara yang dilarang dan buat perkara-perkara yang diperintah oleh Allah. Saya belajar solat, mengaji dengan isteri dan kawan-kawan Islam yang lain dan sehingga kini saya masih lagi belajar untuk menjadi seorang Islam yang lebih baik.”

 

Hidup perlu bersyukur

Sepanjang sesi temubual tempoh hari, perkataan syukur tidak pernah lekang daripada mulut Mark. Itu membuatkan kami yang ada di situ kagum dengan lelaki berbakat besar ini.

Sebelum mengakhiri perbualan hari itu, Mark sempat mengulas lanjut tentang kebiasaannya itu.

“Jika diimbas, banyak yang telah saya lalui dalam kehidupan ini. Saya pernah melalui saat-saat sukar sebelum berada di kedudukan sekarang ini. Saya percaya sebagai hambaNya, kita perlu bersyukur kerana Allah beri kesempatan untuk bernafas di dunia ini. Setiap apa yang berlaku adalah atas kehendakNya. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mencari rezeki yang lebih baik di sini. Saya juga bersyukur kerana mendapat peluang untuk menjalani kehidupan yang selesa.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62 tahun ini, Mark turut diminta berkongsi pendapatnya tentang Malaysia. Sebagai pemastautin di sini, adakah jiwanya bersama Malaysia atau sebaliknya?

“Saya suka katakan, I am Malaysian Filipino. Banyak yang saya suka tentang Malaysia. Salah satunya, saya sangat menggemari masakan Malaysia. Saya juga tidak boleh hidup tanpa masakan pedas. Sedangkan ketika di Filipina, saya tidak boleh makan masakan yang pedas. Antara menu Malaysia yang menjadi kegemaran saya ialah Nasi lemak, Rendang Ayam, Mi Wantan Kering, dan Roti Canai.”

“Selain itu saya juga boleh katakan, tahap penguasaan Bahasa Melayu saya semakin hari semakin baik.  Bagi saya Malaysia cukup istimewa di hati kerana walaupun terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, tetapi rakyat Malaysia mampu menjalani kehidupan dengan aman sentosa. Sama ada Melayu, Cina atau India, masing-masing punya kebaikan dalam diri.”

“Buat masa ini saya memang tidak punya perancangan untuk kembali ke Filipina. Tetapi memandangkan isteri saya sudah menyukai Filipina, kemungkinan untuk kembali itu mungkin ada. Bagi saya mudah sahaja, di mana sahaja isteri mahu berada, saya akan berada di sisinya.”

 

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Mark Adam
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Rahayu Mat Nah
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Pereka Grafik: Asyraf Tamam
  • Penata Gaya : Ayyman Rahim
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Jib Salim
  • Jurugaya Rambut: Hamidi Jamili
  • Busana:

Gaya Pertama:

  • Kemeja, celana, jaket: Kit Woo
  • Sepatu: Converse

Gaya Kedua:

  • Kemeja, tali leher, celana: Wardrobe
  • Blazer: Ugly Pretty
  • Kot trenc: Uniqlo
  • Sepatu: Prada