‘Tuan Danial’ Tampilkan Intan Najuwa dan Idris Khan Sebagai Teraju Utama

Drama terbaru di Slot Lestary, TV3, ‘Tuan Danial’ menyaksikan gandingan Intan Najuwa dan Idris Khan sebagai teraju utama.

Drama rantaian yang mula bersiaran pada 9 Ogos, jam 9.00 malam lalu ini turut menampilkan Luqman Hafidz, Scha Elinnea, Atikah Suhaime, Aman Graseka, Mathni Razak, Syafi Tee DFKL, Afifah Nasir, Noniswara dan juga Zuhairi Ibrahim.

‘Tuan Danial’ merupakan drama adaptasi novel tulisan Azizah Azmi dan ia diarahkan oleh Idora Abdul Rahman.

Masih mengangkat tema cinta, ia mengisahkan tentang cinta yang cuba diatur oleh keluarga Tengku Ismahanim (Intan Najuwa) dengan jejaka yang tidak dikenali bernama Danial (Idris Khan).

Sebelum bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga, Tengku Ismahanim atau Is menyamar sebagai pembantu rumah. Danial bukan lelaki pertama yang membuatkan Is menyamar sebagai pembantu rumah.

Penyamaran Is ini adalah untuk menyiasat latar belakang dan sikap sebenar bakal-bakal suami yang dicadangkan oleh bapanya, Tengku Khalil namun semua calon itu tidak berjaya memikat hati Is sehinggalah Is menyamar menjadi pembantu rumah milik keluarga Tuan Danial.

Berlainan dengan lelaki-lelaki sebelumnya, walaupun kelihatan agak sombong dan tegas Is tertarik dengan Tuan Danial yang tidak terlalu bergantung kepada pembantu rumah.

Berlaku pelbagai insiden melucukan ketika Is menyamar menjadi pembantu rumah Tuan Danial kerana Is sentiasa mengingkari arahannya memandangkan Is sememangnya betah dengan kerja-kerja seorang pembantu rumah.

Namun, lama kelamaan Tuan Danial mula lembut hati dan tertarik dengan sikap Is. Tengku Hatta, iaitu adik Is turut terlibat sama dalam rancangannya iaitu berpura-pura mesra untuk membuatkan Tuan Danial cemburu melihat hubungan mesra mereka.

Konfllik semakin memuncak apabila bekas tunang Tuan Danial, Nell (Atikah Suhaime) kembali dari luar negara. Nell kelihatan cuba meraih kembali cinta Tuan Danial. Pelbagai agenda cuba dilakukan oleh Nell, termasuklah mengugut untuk membunuh diri supaya Tuan Danial bersimpati kepadanya.

Namun begitu, bukan Is sahaja mempunyai saingan, Tuan Danial juga tergugat oleh kehadiran Rizal (Luqman Hafidz), jiran sebelah rumahnya yang obses untuk memiliki Is.

Adakah cinta di antara Is dan Tuan Danial bakal bersatu dengan kehadiran Nell dan Rizal? Jangan lupa untuk ikuti kesemua 13 episod drama Tuan Danial untuk mengetahui kesudahannya.

Kredit Foto : TV3 Malaysia