Tuanku Rao: Tokoh ulama dan panglima Perang Padri

Asia 05 Feb 2021 Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Tuanku Rao: Tokoh ulama dan panglima Perang Padri
Tuanku Rao: Tokoh ulama dan panglima Perang Padri (foto: Monumen Tuanku Rao di Rao, Pasaman, Sumatera Barat) © yulhartono.com

Tuanku Rao adalah salah seorang watak terpenting yang terlibat dalam Perang Padri di Minangkabau pada tahun 1803. Beliau adalah salah satu daripada tiga tokoh utama Gerakan Paderi di bahagian utara Minangkabau pada awal abad ke-19.

Tuanku Rao juga adalah antara individu yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran Islam di Lembah Rao dan di Tanah Batak. Ini termasuk di kalangan orang Rao yang telah berhijrah ke Tanah Melayu ketika itu. Siapakah beliau yang sebenarnya?

Latar belakang ringkas Tuanku Rao

Tuanku Rao dikenali sebagai seorang yang kuat mengamalkan ajaran Islam. Beliau juga adalah seorang panglima perang yang terkenal disebabkan peranan yang dimainkan olehnya dalam Perang Padri.

Menurut sumber sejarah, nama Pongki Nangolngolan juga dikaitkan dengan Tuanku Rao. Beliau merupakan seorang yang berketurunan Rao atau Rawa yang berasal dari kawasan Sumatera Barat. Kedua-dua ibu dan bapanya ialah Orang Rao.

Beliau telah mendalami ajaran agama Islam sejak daripada zaman kecilnya lagi. Beliau berkahwin dengan seorang wanita bangsawan iaitu puteri kepada Yang Dipertuan Rao.

Giat menyebarkan Islam

Tidak dinafikan lagi, Tuanku Rao merupakan antara individu terpenting yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di kawasan Sumatera Barat. Lebih tepat lagi, dalam kalangan Orang Rao.

Tuanku Rao telah menyebarkan ajaran Islam di beberapa tempat seperti di Langung, Koto Rajo sehingga ke Rokan, Riau. Beliau bersama-sama sahabatnya, Tuanku Tambusai telah mengislamkan ramai orang-orang tempatan di kawasan Sumatera Barat.

Beliau telah mengislamkan orang-orang Batak, orang Riau serta orang-orang yang tinggal di persisiran pantai.

Berani melawan Belanda

Pada ketika kawasan Rao telah berjaya ditakluk oleh Belanda, Belanda telah memujuk Tuanku Rao untuk menyerah kalah. Namun, beliau berdalih dan mengatakan bahawa dia mahu pergi menunaikan haji. Beliau kemudiannya telah bersembunyi di hutan daripada buruan Belanda.

Setelah beberapa ketika, semangatnya untuk menentang Belanda kembali memuncak. Tuanku telah menyerang pertahanan Belanda di Air Bangis, namun serangannya itu tidak berjaya. Beliau telah mengalami kecederaan parah akibat ditembak dengan peluru.

Belanda kemudiannya menahan dan membawanya keatas kapal. Ditakdirkan Allah SWT, beliau telah meninggal dunia tidak lama selepas dia dibawa keatas kapal. Ramai yang menganggap pihak Belanda telah membuang jenazah Tuanku Rao ke dalam laut.

Tuanku Rao penuh ciri kepimpinan

Tuanku Rao sangat terkenal sebagai tokoh panglima Perang Padri daripada golongan Padri. Sifat kerasnya menentang Belanda juga telah mengakibatkannya meninggal dunia di tangan penjajah Belanda.

Beliau bukan sahaja mempunyai karisma sebagai panglima perang, tetapi di sisi lain juga adalah seorang pemimpin dan ulama tersohor.