Tujuh jenis makanan yang disebutkan al-Quran serta khasiatnya

Makanan Sihat Aimy Azhary
Terkini oleh Aimy Azhary
Tujuh jenis makanan yang disebutkan al-Quran serta khasiatnya
Tujuh jenis makanan yang disebutkan al-Quran serta khasiatnya © MOHD AZAMI SARJU | Dreamstime.com

Terdapat pelbagai jenis makanan dan minuman yang disebutkan al-Quran. Sebahagian kecil daripadanya sahaja diharamkan. Selebihnya merupakan keluasan nikmat dan tanda kasih Allah SWT kepada manusia untuk dinikmati dengan penuh kesyukuran.

Artikel kali ini akan berkongsi tentang tujuh jenis makanan yang disebutkan al-Quran serta khasiatnya.

Makanan yang disebutkan al-Quran

Tin dan Zaitun

Allah Taala bersumpah dengan buah tin dan zaitun di dalam surah At-Tin. Ini disebabkan kandungan serta khasiatnya yang menakjubkan terutama apabila diambil bersama dan ia merupakan tanda kekuasaan Allah dalam menyusun aturan alam mengikut kehendak-Nya.

Antara khasiatnya ialah kandungan Methalonids yang memberikan tenaga ideal selaras dengan keperluan badan seseorang serta mengurangkan kadar kolestrol jahat. Ia juga terbukti memberikan manfaat kepada jantung serta merawat gangguan pencernaan seperti sembelit.

Kurma

Al-Quran menggunakan istilah An-Nakhlah, An-Nakhil dan An-Nakhl yang membawa maksud kurma. Perkataan-perkataan ini disebutkan sebanyak 16 kali di dalam al-Quran.

Kurma merupakan makanan yang kaya dengan gula semulajadi serta nutrien penting yang diperlukan badan seperti potasium, magnesium, fosforus dan lain-lain. Ia juga dipercayai meningkatkan mutu penglihatan di samping membantu proses pencernaan perut dengan baik.

Kandungan antioksidan yang tinggi di dalamnya juga mampu memaksimumkan peranan otak supaya lebih fokus di samping meningkatkan kualiti memori seseorang.

Delima

Perkataan Ar-Rumman yang memberi maksud buah delima disebutkan sebanyak tiga kali, iaitu di dalam surah al-Anbiya’ dan ar-Rahman. Ia terkenal sebagai buah yang tinggi dengan kandungan antioksidan, vitamin A, B, C dan K, serta berupaya menguatkan memori seseorang.

Buah ini juga sangat bermanfaat dalam meningkatkan ketahanan kardiovaskular kerana kandungan zat besi yang tinggi dan mampu merawat anemia dan artritis (radang sendi).

Halia

Firman Allah SWT dalam surah Al-Insan, ayat 17 yang bermaksud:

“Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari ‘Zanjabil’,”

Zanjabil dalam bahasa Arab bermaksud ‘Halia’. Pelbagai kajian saintifik dan buku-buku perubatan yang telah mendedahkan kebaikan halia kepada tubuh badan manusia.

Halia terbukti mampu mengurangkan keradangan, melegakan rasa loya, mengurangkan paras kolestrol serta menguatkan imuniti badan. Selain itu, pengambilan halia menggalakkan pundi hempedu merembeskan cecair ‘bile’, yang berfungi meransang penghadaman perut.

Anggur

Perkataan ‘Al-‘Inab’ iaitu anggur disebutkan sebanyak 11 kali di dalam al-Quran, antaranya dalam surah an-Nahl, ayat 11. Anggur mengandungi serat, nutrien dan antioksidan yang berperanan mengurang dan mengawal kadar kolestrol dalam darah.

Serat yang terkandung di dalamnya pula mampu menguatkan metabolisme badan serta mengelak sembelit. Dalam masa yang sama, ia juga kaya dengan zat besi yang menyumbang kepada ketahanan kardiovaskular.

Madu

Madu adalah makanan yang terkenal sebagai penawar dan makanan tambahan sejak zaman-berzaman kerana khasiatnya yang pelbagai. Dalam al-Quran, ia hanya disebutkan sekali sahaja iaitu di dalam surah Muhammad, ayat 15.

Madu terbukti berupaya mengurangkan keradangan, serta menguatkan imuniti badan untuk melawan virus.Terdapat juga beberapa kajian pakar nutrisi yang mendedahkan bahawasanya madu mempunyai kandungan antioksidan unik yang mampu mengelakkan terkena penyakit kanser.

Pisang

Buah pisang diceritakan dalam surah al-Waqiah, ayat 29:

“Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,”

Pisang merupakan makanan yang sering digunakan dalam pelbagai menu tradisi masyarakat Malaysia. Di samping rasanya yang manis, pisang selalu menjadi pilihan ramai ketika berhadapan dengan masalah penghadaman seperti sembelit atau cirit-birit.

Secara saintifik, pisang mempunyai antioksidan dan vitamin C yang menguatkan ketahanan dan imuniti badan. Kandungan potassium di dalamnya pula berperanan mengawal kadar gula dalam darah sekaligus memberikan tenaga yang optimum.

Selain itu, pisang juga berupaya menyumbang sejumlah tenaga pantas kepada badan manusia. Kebanyakan atlit professional menjadikan pisang sebagai sumber alternatif untuk mendapatkan tenaga segera ketika menjalani rutin-rutin harian mereka.

Setiap ciptaan Allah Taala pasti ada hikmahnya

Sesungguhnya setiap kejadian dan ciptaan Allah Taala pasti mempunyai hikmah. Dan perkara tersebut kekal menjadi platform buat seseorang mukmin untuk meningkatkan imannya kepada Allah.

Firman Allah SWT:

“Mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.