Tujuh sunnah Hari Raya yang patut dilakukan pada pagi Aidilfitri

Islam untuk Pemula Md Wa'iz
Pilihan
Tujuh sunnah Hari Raya yang patut dilakukan pada pagi Aidilfitri
Tujuh sunnah Hari Raya yang patut dilakukan pada pagi Aidilfitri © Khaffizzul Abdullah | Dreamstime.com

Ramai yang menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memenuhi tuntutan budaya. Tetapi tidak ramai yang menyambutnya dengan tuntutan sunnah hari raya yang sebenar.

Dalam agama Islam, terdapat beberapa amalan atau sunnah hari raya yang sangat digalakkan untuk dilakukan.

Tujuh sunnah Hari Raya yang patut dilakukan pada pagi Aidilfitri

Dalam kita bergembira menyambut lebaran, jangan sesekali dilupakan segala ajaran yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Berikut ialah beberapa sunnah hari raya yang disunatkan untuk dilakukan oleh kita semua.

1. Mandi sunat hari raya

Apakah yang membezakan mandi biasa dengan mandi sunat hari raya? Perbezaannya terletak pada niat kita sebelum mandi. Jika kita tidak berniat untuk mandi sunat hari raya, maka mandi kita pada pagi hari raya tersebut hanyalah mandi biasa sahaja.

Imam Nawawi menyatakan bahawa para ulama’ bersetuju sebulat suara bahawa disunatkan untuk mandi sunat hari raya sebelum menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri.

2. Sunnah hari raya: disunatkan makan sebelum keluar bersembahyang

Salah satu sunnah yang kurang diketahui ramai ialah mengenai makan pada waktu pagi sebelum keluar untuk sembahyang Hari Raya Aidilfitri. Disunatkan untuk makan pada waktu pagi ini adalah sebagai untuk menyatakan bahawa diharamkan berpuasa pada 1 Syawal selain menandakan bahawa Ramadan sudah berakhir.

Imam Ibnu Hajar menyatakan bahawa, antara sebab mengapa disunatkan untuk makan pada pagi hari raya adalah untuk mengelakkan umat Islam daripada terus berpuasa dan patuh kepada arahan Allah Taala untuk berhari raya.

3. Mengucapkan ucapan selamat dan tahniah

Salah satu sunnah ketika hari raya ialah dengan mengucapkaan kata-kata selamat dan tahniah antara sesama Muslim. Tiada lafaz khusus bagi ucapan tahniah ketika hari raya ini. Selagi mana ia adalah satu ucapan yang baik antara satu sama lain, maka disunatkan untuk kita mengucapkannya.

Sebagai contoh, budaya masyarakat Muslim di Malaysia biasanya akan menyebut ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ atau ‘Maaf zahir dan juga batin’.

4. Bertakbir juga ialah salah satu sunnah hari raya

Pada pagi Hari Raya Aidilfitri, ia biasanya dihiasi dengan lafaz takbir yang bersahut-sahutan daripada masjid-masjid berdekatan. Ucapan takbir pada Hari Raya Aidilfitri juga adalah salah satu sunnah yang sangat digalakkan dalam Islam.

Takbir bagi Hari Raya Aidilfitri bermula daripada malam raya sehinggalah sebelum solat hari raya didirikan.

5. Berpakaian cantik dan bersih

Sebagai tanda sambutan hari raya, umat Islam juga dituntut untuk memakai pakaian baharu, cantik dan juga bersih pada pagi hari raya. Umat islam digalakkan untuk berpakaian dengan sebaik-baik pakaian yang mereka miliki pada hari tersebut.

Selain itu, hadis juga ada menyatakan bahawa disunatkan untuk memakain wangian pada Hari Raya Aidilfitiri.

6. Sunnah hari raya: bersolat Hari Raya Aidilfitri

Tidak lengkap sambutan Hari Raya Aidilfitri jika kita tidak melakukan solat sunat hari raya pada pagi hari tersebut.

Walaupun solat sunat hari raya bukanlah solat fardhu, namun ia ialah satu solat yang sangat dituntut untuk dilakukan pada hari raya.

7. Pergi dan pulang daripada masjid dengan dua jalan yang berbeza

Salah satu sunnah yang kurang diketahui ramai ialah berkenaan penggunaan jalan sewaktu pergi dan pulang dari masjid. Kita disunatkan untuk menggunakan jalan yang berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid tempat kita melakukan solat sunat hari raya.

Hikmahnya agar kita dapat bertemu dengan anggota masyarakat yang lain dan boleh mengucapkan selamat hari raya sesama kita pada hari tersebut.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.