Tujuh tempat menarik di Muar, Johor

Singgah Chan Abdullah 12-Ogo-2020
Menara Jam Muar © Gahsoon | Dreamstime.com

Muar adalah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor Darul Takzim. Pada tahun 2012, Muar telah diisytiharkan sebagai Bandar Diraja. Nama rasmi Muar kini ialah Bandar Maharani Bandar Diraja. Terdapat banyak tempat menarik yang boleh anda kunjungi apabila sampai di Muar. Nak tahu apa yang menarik di Muar?

Taman Tanjung Emas

Taman Tanjung Emas merupakan sebuah taman rekreasi yang terletak di muara sungai Muar. Persekitarannya yang nyaman sangat sesuai untuk aktiviti riadah sekeluarga. Malah kemudahan awam yang disediakan juga di taman ini memudahkan pengguna yang berkunjung ke sini.

Sungai Muar

Alang-alang sampai di Tanjung emas, rugi jika anda tidak mencuba belayar dengan bot melalui Bot Cruise Muar. Perjalanan menyelusuri Sungai Muar ini mengambil masa 45 minit hingga 1 jam. Anda boleh mendapatkan tiket di Jeti Tanjung Emas. Pada hari sabtu dan ahad, anda berpeluang untuk menikmati keindahan kelipan kunang-kunang pada malam hari di mana tiketnya boleh didapatkan di Jeti Tanjung Emas.

Taman Tanjung Ketapang

Taman ini dijadikan sebuah tempat rekreasi yang mempunyai kawasan hutan paya bakau. Terdapat monyet dan haiwan liar di sini, namun tidak berbahaya kepada para pengunjung yang datang. Jika anda ingin menikmati suasana matahari terbenam, anda boleh datang ke Taman Tanjung Ketapang.

Ladang Herba Nasuha

Terletak kira-kira 19km dari bandar Muar, Ladang Herba Nasuha  mempunyai pelbagai jenis herba yang datang daripada seluruh dunia. Anda boleh mendapatkan pelbagai jenis herba dan rempah ratus di sini. Selain itu terdapat juga restoran di sini yang menyajikan hidangan makanan yang mengandungi herba segar. Anda juga boleh menyegarkan badan dengan menikmati spa herba yang tersedia di Ladang Herba Nasuha.

Kolam Air Panas Sungai Gersik

Terletak di Pekan Parit Jawa, Kolam Air Panas Sungai Gersik ini merupakan kolam air panas semula jadi. Pengunjung boleh masuk ke kolam ini secara percuma. Kebiasaannya kolam air panas ini  dikunjungi oleh lebih ramai orang pada hujung minggu dan cuti persekolahan.

Masjid Sultan Ibrahim

Masjid Sultan Ibrahim ini mempunyai tarikan seni bina yang sangat unik dan menarik. Masjid ini terletak berhampiran dengan muara Sungai Muar dan merupakan sebuah masjid yang tertua di Muar. Reka bentuk masjid ini dibina dengan gabungan elemen barat dan Timur Tengah hingga menjadikannya persis Al Hambra di Sepanyol.

Menara Jam Muar

Dibina berasaskan seni bina Inggeris lama, Menara jam Muar ini menjadi tempat tumpuan golongan anak-anak muda. Anda boleh menikmati pemandangan berlatarbelakangkan air pancut sambil melihat sejarah senibina Inggeris melalui seni bina Menara jam ini.

Jika ada peluang bawalah keluarga berkunjung ke bandar Muar. Selain dapat menikmati keunikan dan keindahan di Muar, anda juga membantu merancakkan kembali sector pelancongan tempatan dan ekonomi negara secara tak langsung. Jom cuti-cuti Malaysia.