Tulisan Jawi – hari Jumaat adalah Hari Jawi

318px-Undang-Undang_Melaka
Undang-undang Melaka bertulisan Jawi © By Public Domain, Link

Bermula 10 Julai 2020, Hari Jumaat telah diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’. Kini, hari Jumaat adalah Hari Jawi. Pengumuman ini dibuat bagi memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk masyarakat Malaysia hari ini.

Tulisan Jawi telah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Memartabatkan tulisan Jawi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata melalui agensi di bawah beliau, kepala surat rasmi menteri akan menggunakan tulisan Jawi dalam urusan rasmi. Tambahnya, penggunaan tulisan Jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Selain itu beliau juga menggalakkan agar jabatan kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam memartabat dan memulihara tulisan jawi sebagai salah satu warisan negara. Memartabatkan tulisan jawi tiada kena mengena dengan kaum dan agama.

Sejak tahun 1300 lagi tulisan jawi telah digunakan secara meluas di alam Nusantara, termasuk Tanah Melayu. Tulisan jawi menjadi pengantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat.

Namun, kedatangan penjajah ke Tanah Melayu dan seterusnya sehingga pembentukan Malaysia menjadikan tulisan jawi semakin terpinggir. Atas alasan perpaduan kaum, tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi negara Malaysia.

Hari Jumaat adalah Hari Jawi

Inisiatif menjadikan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ seharusnya disokong oleh semua pihak terutamanya masyarakat Melayu kerana ianya merupakan satu warisan budaya bangsa.

Selain jabatan-jabatan kerajaan, diharap institusi pendidikan terutamanya sekolah rendah dapat menyokong usaha memartabatkan penggunaan tulisan jawi. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di peringkat sekolah bagi meningkatkan penggunaan tulisan jawi di kalangan murid dan guru.

Penggunaan papan tanda dengan tulisan jawi di beberapa buah negeri di Malaysia dilihat sebagai satu usaha yang sangat baik dalam kembali memeartabatkan penggunaan tulisan jawi di negara ini.

Kalau warisan budaya ini tidak dipelihara, pastinya ianya akan hilang suatu hari nanti. Tulisan jawi ialah warisan negara, bukannya warisan agama. Marilah sama-sama kita memelihara warisan ini.