Tulisan Jawi, skrip Tamil curi tumpuan di rumah terbuka Tahun Baru Cina

Adea Ghafar 24-Jan-2020
Hiasan tanglung merah Tahun Baru Cina
Hiasan tanglung merah Tahun Baru Cina © My138photo | Dreamstime.com

Dilihat sebagai usaha perdamaian susulan kontroversi pengenalan tulisan Jawi di sekolah, rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) telah mencuri tumpuan dengan pertunjukan khas beberapa tulisan kaligrafi. Malahan, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad bersama para pemimpin PH yang lain juga telah berdiri memegang sepanduk dengan ucapan ‘Selamat Tahun Baru Cina’ yang ditulis dalam tulisan Jawi, khat, dan skrip Tamil.

Pemimpin PH yang berada di atas pentas ialah Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Industri Utama, Teresa Kok, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Turut bersama adalah Presiden MCA, Wee Ka Siong dan aktivis warisan, Ishak Surin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLSCAH, Lee Shok Jing berkata sepanduk itu juga turut memaparkan kaligrafi Cina lama yang tertera perkataan ‘musim bunga sudah kembali’. KLSCAH telah mempamerkan kaligrafi khat dan Cina semenjak 2016 dalam acara kebudayaan Cina tetapi buat pertama kali, tulisan Jawi, khat dan Tamil turut dipamerkan dalam rumah terbuka Tahun Baru Cina ini.

Beberapa meja diletakkan di sudut bahagian dewan utama dalam majlis tersebut yang mana di satu sudut, para tetamu telah beratur untuk mendapatkan tulisan dalam kaligrafi Jawi dan khat yang menulis nama mereka. Demonstrasi kaligrafi Cina turut diadakan serentak di mena-meja lain. Para tetamu yang hadir juga telah turut dihiburkan dengan pertunjukan tarian singa.

Kementerian Pendidikan menganjurkan bahawa seksyen dengan tiga muka surat mengenai pelajaran Jawi dalam buku teks Tahun 4 Bahasa Malaysia adalah pilihan untuk sekolah vernakular. Ini bermakna, ia tertakluk kepada persetujuan daripada ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru. Sebelum ini, kerajaan yang mahu memperkenalkan pelajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular telah dikritik hebat. Antara lain, cadangan telah diberi supaya ia diajar sebagai sebahagian daripada pelajaran seni dan bukannya dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu.