Tulisan Jawi warisan Melayu

Tulisan Jawi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan © Tktktk | Dreamstime.com

Tulisan Jawi sudah menjadi identiti orang Melayu sejak zaman berzaman. Namun malangnya ramai yang keliru dan menyangkakan tulisan Jawi sebagai tulisan Arab. Tulisan Jawi menggunakan huruf-huruf dari bahasa Arab tetapi sebutan dan ejaannya adalah menggunakan bahasa Melayu. Terdapat beberapa huruf yang tiada dalam huruf-huruf arab diperkenalkan bagi menyesuaikannya dengan penggunaan bahasa Melayu.

Tulisan Jawi di negara ini adalah berasal dari kedatangan pedagang-pedagang Arab ke negara ini. Tulisan Jawi berkembang pesat selaras dengan perkembangan pesat agama Islam di negara dan rantau ini. Bukti penggunaan tulisan Jawi di negara ini boleh dilihat melalui tulisan Jawi yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu seawal 1303 Masihi.

Tulisan Jawi pada dahulunya digunakan secara meluas dalam sistem pendidikan, pentadbiran danjuga urusan rasmi. Bagaimanapun, kedatangan penjajah Inggeris ke negara ini sedikit sebanyak mengurangkan kepentingan tulisan Jawi di dalam urusan pentadbiran. Pada tahun 1963, melalui Akta Bahasa Kebangsaan yang diwartakan, tulisan rumi akhirnya menjadi tulisan rasmi negara. Sejak itu penggunaan tulisan Jawi semakin terpinggir.

Lebih menyedihkan lagi, ramai masyarakat Melayu Malaysia sendiri yang tidak mahir membaca dan menggunakan tulisan Jawi. Di negara kita, tulisan Jawi mula diperkenalkan di sekolah rendah. Usaha ini sewajarnya disokong sepenuhnya supaya kesinambungan budaya tulisan Jawi dapat diteruskan untuk generasi berikutnya.

Melalui satu kajian yang dijalankan oleh pakar tulisan terkenal antarabangsa, Prof Dr. Kang Kyoung Seok dari Pusan University of Foreign Studies, tulisan Jawi sedang ‘tenat’ dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

Menurut beliau lagi; “Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan Jawi nanti?”

Tulisan Jawi adalah warisan orang Melayu dan juga warisan Malaysia. Tulisan Jawi tiada kaitan dengan agama Islam walaupun ianya berasaskan huruf-huruf bahasa Arab. Kesedaran mengenai perkara ini perlu diterapkan pada masyarakat agar tidak berlakunya salah faham mengenai tulisan Jawi.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Tulisan pula mencorakkan bahasa. Warisan dan adat budaya kita harus kekal dipelihara agar kekal relevan untuk generasi seterusnya. Usaha memartabatkan dan memelihara tulisan Jawi di negara ini haruslah disokong agar warisan negara ini tidak pupus ditelan masa.