Tun Dr Siti Hasmah Seru Wanita Buat Pemeriksaan Payudara

International Day of Breast Cancer

Setiap wanita berisiko mendapat kanser payudara. Dianggarkan bagi setiap 100,000 wanita di dunia, 127 orang menderita kanser payudara manakala 25 kematian disebabkan kanser terbabit.

Manakala di Malaysia sendiri, setiap seorang daripada 20 wanita berisiko mendapat kanser payudara hingga membawa kepada kematian. Jadi tiada lagi alasan untuk anda berasa selamat tanpa membuat sebarang pemeriksaan.

Baru-baru ini, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali telah mendedahkan beliau juga merupakan seorang ‘survivor’ kanser payudara dan telah menjalani rawatan penyakit berkenaan pada Mac lepas.

Menurut beliau doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan kecil pada kiri payudaranya setelah menjalani pemeriksaan mammogram dan rawatan biopsi di sebuah hospital di ibu negara.

“Doktor menasihatkan saya supaya buang ketumbuhan itu dalam masa seminggu, mula-mula saya tak beritahu suami saya (Tun Dr Mahathir Mohamad), tak mahu kacau dia sebab sibuk baru balik dari luar negara. Setelah keputusan itu keluar dan doktor sahkan ada (ketumbuhan) di situ, baru beritahu dan dia terkejut.”

“Saya ingat lagi hari Isnin dapat keputusan, selepas itu tunggu sampai hari Jumaat masuk wad, petang periksa lagi sekali nak sahkan betul-betul ada ketumbuhan di situ, Sabtu pagi saya masuk bilik bedah, petang selesai pembedahan dan keesokannya saya dibenarkan pulang,” kongsi beliau selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL Pink October) 2019 di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru itu, Dr Siti Hasmah menyeru agar kaum wanita tidak takut untuk menjalani pemeriksaan payudara kerana penyakit ini jika dikesan lebih awal, ia masih boleh dirawat dan pesakit boleh sembuh seperti sediakala.

“Kanser payudara boleh berlaku pada sesiapa sahaja tidak kira umur daripada muda sehinggalah umur 90-an seperti saya.

Jangan gadaikan nyawa kita kepada jenis kanser yang boleh dicegah sekiranya dapat dikesan dari awal, kerana lebih cepat dapat rawatan lagi cepat kita boleh sembuh.

“Pemeriksaan kesihatan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu diberi kepada diri kita yang masih sihat sebelum mahu menjaga orang lain,” ujar beliau.

Jadi jangan ambil mudah tentang pemeriksaan payudara. Jika anda sudah berusia lebih 40 tahun, ujian mammogram harus dilakukan untuk mengesan sel-sel kanser (jika ada). Bagi wanita yang berusia di bawah 40 tahun, ujian ultrasound akan dilakukan.

Kedua-dua kaedah rawatan ini boleh dilakukan di hospital-hospital kerajaan pada kos yang rendah. Jika ada berkemampuan boleh jalani pemeriksaan di hospital swasta di mana banyak yang menawarkan pakej istimewa sempena bulan kesedaran ini (Pinktober).

Sumber : BERNAMA / mamogram.lppkn.gov.my

Foto : 123rf / thestar.com.my (Dr. Siti Hasmah)