Tunku Abdul Rahman pernah hadir solat Hari Raya di Masjid Woking, England

Masjid 02 Mei 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Tunku Abdul Rahman pernah hadir solat Hari Raya di Masjid Woking, England
Tunku Abdul Rahman pernah hadir solat Hari Raya di Masjid Woking, England © Amanda Lewis | Dreamstime.com

Terdapat sebuah masjid yang mempunyai kepentingannya dalam sejarah perkembangan Islam di England, United Kingdom. Masjid tersebut ialah Masjid Shah Jahan atau lebih terkenal dengan nama Masjid Woking.

Menariknya, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman juga pernah hadir bersolat di masjid ini. Ikuti sejarah masjid ini.

Sejarah ringkas pembinaan Masjid Woking

Masjid ini telah mula dibina pada tahun 1889 oleh seorang Orientalis British bernama Gottlieb Wilhelm Leitner. Tujuannya adalah untuk memudahkan para pelajar yang menuntut di Oriental Institute, Woking menunaikan solat atau beribadah.

Ia dinamakan sebagai Masjid Shah Jahan memandangkan sebahagian daripada kos pembinaannya ditanggung oleh Sultan Shah Jahan Begum dari Bhopal.

Masjid ini telah direka bentuk oleh seorang arkitek yang bernama William Isaac Chambers. William mengadaptasi seni bina Parsi dan Saracen dalam rekaan masjid ini.

Perjalanan penggunaan Masjid Woking

Masjid ini adalah bangunan masjid pertama di Britain yang dibina khas sebagai sebuah masjid untuk orang-orang Islam. Masjid ini juga pernah menjadi masjid utama Britain satu ketika dahulu.

Para pekerja Ratu Victoria yang beragama Islam dari India akan hadir bersolat di masjid ini sekiranya Ratu Victoria melawat Istana Windsor. Masjid ini pernah terbiar dan tidak digunakan selama 13 tahun selepas kematian Leitner.

Kemudian ia digunakan kembali setelah Khwaja Kamal-ud-Din datang dan memperbaiki semula masjid tersebut. Masjid ini pernah diuruskan oleh golongan Ahmadiyyah melalui Lahore Ahmadiyya Movement sejak tahun 1914 hingga pertengahan 1960.

Pada tahun 1960, masjid ini tidak lagi menjadi sebagai masjid tumpuan orang-orang Islam di Britain. Ini kerana pada ketika itu, imigran Muslim yang datang ke United Kingdom sudah semakin ramai dan masjid-masjid lain juga sudah semakin banyak dibina.

Bermula pada tahun 1970 hinggalah sekarang, masjid ini telah diambil alih dan diuruskan oleh golongan Sunni. Kini, ia digunakan oleh penduduk tempatan yang menetap di sekitar masjid ini sahaja.

Tunku Abdul Rahman pernah hadir ke masjid ini

Di saat kegemilangan penggunaan masjid ini, ia pernah dihadiri oleh ramai golongan kenamaan dari seluruh dunia. Antaranya ialah Muhammad Ali Jinnah, Raja Faisal dari Arab Saudi dan Tunku Abdul Rahman.

Pada Hari Raya Aidilfitri iaitu pada tarikh 19 Mac 1961, Tunku Abdul Rahman telah berkesempatan menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri di masjid Woking. Selepas tamat khutbah hari raya, Tunku Abdul Rahman telah menyampaikan ucapannya kepada lebih daripada 4000 orang jemaah.

Pada tahun 1965, Tunku Abdul Rahman telah sekali lagi hadir menziarahi Masjid Woking bersama-sama dengan isterinya.

Masjid terus berfungsi sehingga ke hari ini

Masjid Woking jelas memainkan fungsinya sebagai pusat ibadah utama umat Islam sewaktu awal pembinaannya. Ia bukan sahaja menjadi lokasi untuk bersolat, tetapi juga menjadi pusat perkumpulan komuniti Islam pada masa itu.

Sejarah pembinaannya juga agak unik kerana ia didirikan oleh seorang bukan Islam yang mengambil berat berkenaan keperluan ibadah pelajar-pelajarnya. Kini, ia kekal menjadi sebuah masjid yang berfungsi walaupun telah berusia 132 tahun.