Uban tanda peringatan

Kehidupan Hanita Hassan 28-Jul-2020
Uban tanda peringatan © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Uban sering dikaitkan dengan usia yang semakin berumur.  Ramai dalam kalangan kita yang berasa risau setiap kali warna hitam rambut bertukar putih dan sanggup mewarnakan rambut agar tidak digelar orang tua.  Proses penuaan adalah hal yang pasti hadir dalam  hidup kita.  Salah satu tandanya ialah apabila timbulnya uban atau rambut putih.

Biasanya kaum wanita lebih risau apabila rambutnya tumbuh uban berbanding lelaki.  Wanita sangat mementingkan kecantikan luaran.  Tidak kurang juga yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa diri sudah semakin meningkat usia.

Uban sebagai peringatan kepada kita bahawa usia sudah semakin lanjut. Seorang mukmin yang beriman perlu melihat kembali amalan yang dilakukan sepanjang hidup.  Sekiranya masih belum cukup, masih sempat untuk bertaubat dan pulang ke pangkal jalan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan?  Maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong pun.”  (Surah Fathir, ayat 37)

Ibnu Kathir rahimahullah menerangkan dalam kitab tafsir beliau bahawa para ulama tafsir seperti Ibnu Abbas, Ikrimah, Qatadan, Ibnu Uyainah dan yang lainnya menjelaskan bahawa maksud Sang Pemberi peringatan dalam ayat di atas adalah uban.  (Tafsir Ibnu Kathir 6/542)

Biasanya uban hanya akan muncul pada rambut kita apabila usia sudah meningkat senja. Jarang uban tumbuh di rambut orang muda kecuali sebab-sebab tertentu seperti  penyakit, keturunan atau hormon yang tidak menentu.

Apabila uban mula muncul di kepala, ia adalah peringatan bahawa hidup ini semakin singkat. Dunia bukan lagi menjadi keutamaan dalam  hidup.  Kita perlu menyediakan bekal secukupnya untuk ke negeri akhirat, negeri abadi yang telah dijanjikan Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah mencabut uban kerana uban adalah cahaya pada hari kiamat nanti.  Siapa sahaja yang beruban dalam Islam walaupun sehelai, maka dengan uban itu akan dicatat baginya satu kebaikan, dengan uban itu akan dihapuskan satu kesalahan, juga dengannya akan ditinggikan satu darjat.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Barangsiapa yang telah beruban dalam Islam, maka dia akan mendapatkan cahaya di hari kiamat.”  (Hadis riwayat Tirmidzi no 1634 disahihkan oleh Al-Albany dalam sahih Tirmidzi)

Kita sedar bahawa Nabi SAW diutus oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak umatnya.  Tugas ini telah dilakukan dengan baik dan sempurna.  Nabi SAW telah mengajar adab dan tata cara hidup, menjaga hubungan baik sesama manusia.

Antaranya ialah adab kepada orang yang lebih tua terutama yang sudah beruban.  Baginda SAW juga mengingatkan kita bahawa  menghormati orang tua terutama yang beruban adalah satu bentuk penhormatan terhadap keagungan Allah SWT.

Dalam hadis riwayat Ibnu Abdul Barr, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  “Sebahagian dari bentuk mengagungkan Allah SWT adalah memuliakan tiga orang: pemimpin yang adil, orang tua beruban yang muslim dan pengkaji al-Quran.”

Semoga kita diberi kesedaran akan peringatan Allah SWT melalui uban yang tumbuh itu dan melakukan lebih banyak amal kebajikan dan ibadat untuk bekalan di akhirat kelak.