Ubat tradisional cuma pelengkap proses pemulihan COVID-19

Kehidupan Syed Safri 01-Mei-2020
Keadaan di pusat saringan COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Masih belum ada rawatan atau penawar untuk COVID-19, demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Beliau mengulas tentang pakar-pakar dari negara China yang berkongsi pengalaman dalam melandaikan keluk, mengekang dan mengawal kadar jangkitan COVID-19 di negara mereka.

Penggunaan ubat herba dan kaedah tradisional yang disyorkan oleh doktor dari China hanya boleh digunakan untuk melengkapkan proses pemulihan dan bukan rawatan khusus untuk pesakit COVID-19. Perubatan tradisional seperti akupunktur dan minuman herba tidak digunakan sebagai perawatan tetapi hanya sebagai pelengkap proses pemulihan.

Menurut Dr. Noor Hisham, Kementerian Kesihatan telah mengadakan perbincangan terperinci dengan pakar-pakar dari China, dan juga berkongsi pengalaman bersama mereka. Hasilnya ialah Malaysia dapat belajar dan berupaya menghindari sebarang kesulitan tersembunyi dan apa-apa kekurangan yang telah dihadapi di China.

Seterusnya, Dr. Noor Hisham berkata, pasukan Kementerian Kesihatan akan mengadakan sidang perancangan keluar dan perbincangan yang lebih terperinci mengenai rawatan dan perubatan bersama kumpulan pakar perubatan China tersebut. Mereka juga yakin bahawa tindakan yang telah diambil adalah efektif dan kesimpulannya, lawatan ini telah memberi manfaat kepada Malaysia.

Dalam perkembangan lain berkenaan pendatang asing tanpa izin (PATI), jika pemeriksaan COVID-19 dibuat ke atas mereka, dan jika mereka dikenakan tindakan undang-undang, itu bukan di bawah bidang kuasa kementerian. Tanggungjawab Kementerian Kesihatan hanyalah untuk menyaring, mengesahkan dan merawat pesakit yang positif COVID-19.

Jika PATI diuji positif, mereka akan diasingkan selama dua minggu, dan kemudian akan disaring semula. Ini adalah satu-satunya tindakan yang akan diambil kementerian. Tindakan seterusnya akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr. Noor Hisham menjelaskan hal ini, berikutan tuduhan tindakan yang diambil terhadap PATI setelah menjalani ujian saringan COVID-19. Sementara itu, Dr Noor Hisham mengatakan 21,271 penduduk warganegara asing telah disaring di mana 811 adalah kes positif, dan telah melibatkan empat kematian setakat ini.