Pendapat 22-Apr-2020

Ujian adalah kekuatan

Hanita Hassan
Kolumnis
Ujian adalah kekuatan © Dumitrina Andrusca | Dreamstime.com

Detik masa berlalu begitu pantas.  Belum sempat menyelesaikan jadual di waktu pagi, sudah pun masuk waktu zohor.   Kemudian petang menyusul dan malam pula mengambil peranan sebelum subuh mengetuk pintu nyenyak. Begitulah rutin harian kita sejak pandemik coronavirus baru bertebaran di serata dunia.  Allah SWT menghantar ujian dalam bentuk kesakitan dan kepayahan untuk kita bersabar.

Setiap daripada kita tidak pernah terlepas daripada ujian.  Setiap ujian adalah berbeza-beza.  Ada yang diuji dengan harta.  Tidak kurang juga diuji pada tubuh badan.  Tidak kira ujian itu dalam bentuk kesusahan mahupun kesenangan, itulah tanda  kasih sayang Allah SWT.

Jika kita singkap sirah dan perjalanan Nabi-nabi yang digelar Ulul Azmi, kesemuanya pernah diuji dengan percubaan dan rintangan yang paling banyak.  Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Nuh AS.

Ketika Nabi Muhammad SAW  diuji dengan fitnah kepada Saidatina Aisyah  yang dijaja oleh tentera munafik, baginda tetap bersabar. Ia berlaku dalam peperangan Rasulullah SAW yang disertai oleh Abdullah bin Ubay. Kisah ini disebut dalam al-Quran menerusi surah An-Nur, ayat 12-21.

Sama ada ujian yang datang itu berbentuk kesusahan, kesenangan, musibah atau kesakitan, semuanya untuk melihat siapakah dalam kalangan hamba-Nya yang terbaik amalannya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menguji hamba-Nya dengan sia-sia.  Sebagaimana janji Allah, setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Selepas kesulitan ada kemudahan, begitu juga janji bahawa setiap mukmin tidak akan dibiarkan berkata mereka telah beriman, selagi tidak diuji.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan:  ‘Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi?”  (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Sehingga kini, kebanyakan kerajaan di dunia sudah pun melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kuarantin mahupun perintah berkurung sepenuhnya.  Dalam tempoh yang sukar ini, ada dalam kalangan kita yang hilang mata pencarian, diberhentikan kerja dan menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif COVID-19.  Walau apa pun ujian yang melanda, pasti ada hikmah di sebaliknya.

Justeru marilah kita sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT, memperbanyak doa, berikhtiar, bertawakal dan tetap bersabar menerima ketentuan ini.  Semoga pandemik COVID-19 akan selesai sepenuhnya. Kita dapat kembali bekerja dan melakukan rutin harian serta mengeratkan silaturahim yang terputus.  Kita imarahkan semula masjid, sembahyang berjemaah dan bersembahyang Jumaat seperti dahulu.

Artikel berkaitan
Pendapat
Pendapat 24-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Mungkin inilah hikmah di sebalik pandemik COVID-19.  Kita diminta bersabar supaya wabak yang sedang melanda ini tidak disebarkan sewaktu berhari raya.  Ini sekali gus menjadikan tahun 2020 titik sejarah yang akan dikenang seumur hidup.  Sesungguhnya inilah hakikat kehidupan yang tidak sunyi dalam menghadapi ujian Allah SWT.  Walaupun perit, kita perlu kuat menghadapinya jua.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 15-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Realitinya, karya sastera juga memainkan peranan tersendiri dalam memberi pengajaran sejarah melalui lakaran karya-karya kreatif karangan mereka. Karya besar seperti ini lahir sebagai ekspresi penulis tentang keadaan masyarakat atas sifat tanggungjawab sosial bagi membantu meleraikan kekusutan mereka yang ditindas.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 08-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Gerak kerja dakwah melalui tekno daie dan dakwah siber boleh membantu penyampaian mesej dakwah secara berkesan.  Hari ini, dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan tetapi juga perlu menggunakan media baharu asal sahaja ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 04-Mei-2020
Hanita Hassan
Kolumnis

Kemenangan umat Islam adalah isyarat Allah SWT kepada Nabi SAW untuk meneruskan dakwah Islam. Sirah perjuangan para sahabat berperang mempertahan agama dalam keadaan berpuasa dengan kelengkapan persenjataan yang kurang dalam bulan Ramadan perlu dikisahkan kepada generasi muda.

Teruskan Teruskan