Ujian Allah SWT itu tanda sayang: Yakin atau tidak?

Islam untuk Pemula 03 Apr 2021 Tari Basir
Terkini oleh Tari Basir
Ujian Allah SWT itu tanda sayang: Yakin atau tidak?
Ujian Allah SWT itu tanda sayang: Yakin atau tidak? © Ilham Saputra | Dreamstime.com

Kehidupan seorang manusia tidak akan sesekali pernah sunyi daripada didatangi ujian Allah Taala tanpa mengira dirinya seorang Muslim atau tidak. Selagimana dirinya bergelar manusia, ujian Allah pasti akan mendatangi dirinya. Umpama siang dan malam yang pasti akan silih berganti.

Ujian Allah SWT itu tanda sayang: Yakin atau tidak?

Uniknya ujian itu tidak semestinya datang dalam bentuk musibah atau bala bencana. Kadangkala, keseronokan nikmat dan rahmat yang dikecapi juga merupakan ujian yang tersembunyi. Bahkan berkemungkinan datang dalam bentuk istidraj bagi menjauhkan dirinya daripada Allah SWT.

Walau bagaimanapun, sebagai Muslim yang beriman, dirinya telah pun ditarbiah dengan hakikat yang tersingkap di sebalik ujian-Nya. Hadirnya untuk mengangkat martabat, dan jauh sekali untuk menghumban hamba-Nya.

Terlalu banyak nas al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW yang menceritakan perihal ujian. Malahan, ia telah diolah dengan baik melalui penulisan kreatif, filem, lagu, mahupun menjadi tazkirah daripada lisan para pendakwah.

Tagline ‘Ujian Allah SWT tanda sayang’

Tagline ‘Ujian Allah SWT tanda sayang’ antara tagline klise yang sering dititipkan dalam dunia dakwah. Sama ada melalui tanda pagar atau hashtag di media sosial, mahupun menjadi ayat yang sering diungkapkan oleh para pendakwah.

Bersama jutaan olahan media kreatif berkenaan ujian itu tadi, persoalan lebih besar yang perlu dilontarkan kepada umat Islam ialah: “Sejauh manakah dirinya menyakini bahawa ujian Allah Taala hadir ke dalam hidupnya sebagai rahmat yang mengangkat, bukan bala yang penuh malang lagi bencana?”

Tatkala diri Muslim itu sentiasa disinggahi ujian Allah SWT yang datang dalam bentuk musibah dan mimpi ngeri, seperti kehilangan pekerjaan, kegagalan dalam mencari pekerjaan, putus cinta, kehidupan yang tidak seindah kawan-kawan lain dan sebagainya,

Maka bagaimanakah dirinya menghadapi ujian tersebut? Sabarkah dirinya? Adakah dirinya berdoa memohon keampunan dan bantuan Tuhannya? Bagaimanakah sifat tawakal dan redhanya? Adakah akal dan hati nuraninya dipandu dengan iman, menyedari bahawa ujian Allah itu tanda sayang-Nya kepada dirinya?

Atau dirinya hanya meratap penuh kekecewaan. Mulutnya tidak habis menyalahkan kelemahan dirinya, menyalahkan qada’ dan qadar, bahkan menyalahkan Tuhannya yang menetapkan takdir sebegini.

Jutaan olahan media kreatif mengenai hakikat ujian-Nya, lisan mulia lagi lemah-lembut daripada para ulama dan pendakwah, dan tagline ‘Ujian Allah tanda sayang’, semua itu tidak mampu meraih kepercayaan dan keyakinan yang telah tercalar. Sehingga menggoyangkan keimanan terhadap kehebatan Allah SWT dalam mengatur kehidupan hamba-Nya yang paling terbaik untuk dirinya.

Deretan ujian Allah Taala kepada Nabi Muhammad SAW

Hakikatnya, seorang Muslim itu sudah cukup mengerti tentang ujian Allah yang hadir sebagai rahmat, bukan bala yang melumatkan harapan hidupnya. Namun, ia tanda kelemahan fitrah manusia yang akan teraba-raba dalam kegelapan, selepas dirinya kehilangan cahaya yang terang benderang.

Kerana itulah Allah SWT mengutuskan deretan ujian yang penuh menyakitkan kepada kekasih-Nya, iaitu Baginda Nabi Muhammad SAW. Kematian isteri dan bapa saudara yang sentiasa menyokong perjuangan Baginda, tentangan yang hadir dalam cacian, pulauan bahkan ancaman bunuh walaupun daripada darah daging Baginda sendiri.

Ia sebagai bukti kepada hamba-Nya, bahawa ujian yang Dia hadirkan bukan sebagai pedang yang menikam tajam, namun sebagai perisai yang melindungi daripada balasan Neraka kelak.

Jika Nabi Muhammad SAW kekasih-Nya pun sudah begitu tinggi ujian yang dilontarkan, apatah lagi hamba manusia yang hidupnya sentiasa dipenuhi ketidak yakinan terhadap perancangan-Nya.

Andai rebah tatkala diuji, maka ingatlah deretan ujian Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Di akhirnya, hanya tinggal menyakini bahawa ujian-Nya tanda sayang.