Ujian kesusahan dan kesenangan membina jiwa serta kekuatan

Masyarakat Hagnas
Pendapat oleh Hagnas
Ujian kesusahan dan kesenangan membina jiwa serta kekuatan
Ujian kesusahan dan kesenangan membina jiwa serta kekuatan © Pop Nukoonrat | Dreamstime.com

Satu kisah ingin diceritakan di sini sebagai teladan. Ahmad anak kepada Pak Samad ternampak seekor ulat beluncas yang sedang memakan daun-daun pokok di depan rumahnya. Ahmad sentiasa memerhatikan ulat beluncas itu.

Pada suatu hari, dilihatnya ulat beluncas itu telah menjadi kepompong. Ahmad berasa kasihan terhadap ulat yang terpaksa berada di dalam kepompong itu. Ahmad cuba menolong ulat beluncas dengan cuba memecahkan kepompongnya supaya ulat beluncas tidak lagi berada di dalam kepompong yang kecil dan gelap itu.

Bila dipecahkan kepompong, keluarlah rama-rama yang masih belum matang dan kuat. Rama-rama itu tidak cukup kuat untuk hidup hingga keesokan hari.

Kisah untuk diteliti pengajarannya

Allah SWT menjadikan rama-rama perlu berada di dalam kepompong dan bila kepompong ini pecah, Insya-Allah akan keluarlah rama-rama yang indah dan kuat serta sihat untuk  hidup di bumi Allah ini.

Ujian buat rama-rama ini sebelum keluar sebagai rama-rama yang cantik ialah menjadi ulat beluncas yang hodoh, dibalut kepompong yang sempit dan menyesakkan, meronta-ronta sekuat tenaga untuk keluar daripada kepompong dan seterusnya barulah hasil nya seekor rama-rama yang terbang ke sana ke mari.

Bila sunnatullah ini dilanggar, di mana Ahmad cuba mengeluarkan rama-rama lebih awal, rama-rama tidak keluar sebagaimana sepatutnya. Maka ujian menguatkan dan membantu kita melalui kehidupan dengan lebih baik.

Ujian kesusahan dan kesenangan

Ujian yang Allah SWT kurniakan adalah kerana empat perkara:

Untuk menaikkan darjat kita jika kita sabar dan redha dengan ujian

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin. Semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Untuk membimbing hati kita

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah at-Taghaabun, 64 ayat 11)

Untuk mengampunkan dosa kita

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (dosa) kerananya.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk menghukum dan menyayangi kita

Hukum atas kesalahan kerana sifat sayang Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis qudsi:

“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.

(Hadis riwayat Thabrani)

Bagaimana menghadapi ujian

Mintalah pertolongan Allah SWT dengan sabar dan solat, jangan larikan diri daripada masalah. Bersangka baiklah dengan Allah, dan tidak semua masalah kita perlu hadapi sendirian.

Bincanglah dengan keluarga atau kawan-kawan. Percayalah, makin pekat kegelapan malam, makin hampir terbit fajar yang cerah bercahaya.