Umat rangkaian internet

Era maklumat 24/7 © Prykhodov - Dreamstime.com

Kita telah melepasi era perindustrian dan era maklumat. Pecutan teknologi dalam bidang pemprosesan informasi masih terus berlaku, malah ia boleh menjadikan dunia semakin rumit dan sukar dimengertikan. Inovasi disruptif pula telah mencipta pasaran baru dan jaringan nilai yang menguntungkan dalam menambahbaik sektor ekonomi. Percambahan dalam industri teknologi kini bermakna orang yang paling bijak dan teliti akan tetap relevan dalam ekonomi global yang moden. Artikel ini cuba mengupas tentang hubungan Islam dan internet yang merangkumi media baru, dalam konteks tempatan dan transnasional.

Inilah zaman informasi yang sepatutnya kita bentuk menjadi zaman kebijaksanaan. Bagaimana pula caranya bagi umat Islam menghadapi era teknologi di tahun 2020, terutamanya dalam memanfaatkan asas teknologi internet, iaitu rangkaian komputer global yang menyediakan pelbagai kemudahan maklumat dan komunikasi? Ia terpulang kepada kemahuan, tindakan dan rasa tanggungjawab kita sendiri apabila menggunakan internet. Yang pastinya, ia juga bergantung kepada bagaimana kita menerapkannya ke dalam kehidupan sehari-hari.

Dari sudut pandangan yang positif, internet pada masa kini adalah sumber dakwah yang terbesar dalam dunia Islam. Sumber pengetahuan keislaman ini boleh didapati dalam format teks, audio dan video yang senang difahami. Perkongsian ilmu melalui laman media sosial seperti Facebook, YouTube dan Twitter memudahkan sumber Islam tersebar meluas. Pembelajaran Al-Quran dan hadis dalam talian juga tidak rumit untuk dilakukan berbanding dengan mencari atau mempelajari ajaran-ajaran Islam dari buku-buku rujukan. Produk-produk seperti aplikasi dan perisian Al-Quran dan hadis juga bebas didapati secara percuma, termasuk maklumat atau sumber berupa audio dan video.

Dalam dunia seorang Muslim, penggunaan internet adalah sama dengan orang dan masyarakat lain: menyertai rangkaian sosial media, berjual beli dalam talian, meluas pengetahuan melalui pembacaan, menghasilkan blog dan sebagainya. Kini, banyak aplikasi telefon pintar yang memenuhi keperluan agama. Laman web dengan kandungan khas untuk orang Islam juga cukup banyak. Sesetengah ulama Islam juga banyak yang memanfaatkan saluran media baru melalui internet untuk mengelakkan diri daripada dipinggirkan.

Internet juga adalah satu platform bagi umat Islam untuk memperkenalkan atau menekankan keislaman mereka. Masyarakat Muslim dari pelbagai latar belakang, bahasa,  dan lokasi geografi turut menggunakan internet untuk membincangkan hal ehwal Islam. Perkara jalinan ukhwah ini dirasakan penting kerana tanpa internet, platform hubungan komunikasi yang merentas negara, contohnya yang menjangkau umat Islam yang tinggal di Eropah atau Amerika Syarikat, tidak akan dapat berlaku. Ini adalah suatu perkara yang baik dan harus dilakukan secara berhemah serta berpada-pada.

Namun begitu, internet juga adalah saluran bagi sesetengah orang yang melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang atau haram di sisi agama, seperti menggodam sistem komputer tanpa kebenaran, menyebarkan dakyah fahaman melampau, penyertaan kegiatan rangkaian pengganas, perjudian, pornografi dan sebagainya. Penyalahgunaan internet boleh menyebabkan generasi muda menjadi mangsa yang tidak kenal budaya dan tidak memahami erti interaksi sosial yang sebenar.

Perhatian juga mesti diberikan kepada anak-anak kita yang melayari internet tanpa pemantauan, atau dengan cara yang salah dan tidak tepat kerana sudah semestinya terdapat kesan negatif dalam dunia informasi tanpa sempadan ini. Kadang-kadang, maklumat yang salah senang didapati melalui internet, lalu masalah atau salah faham tersebut mudah dikembangkan. Maka, jangan biarkan mereka membuang masa di internet dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting dan sia-sia. Menghabiskan masa dengan internet melalui cara yang tidak sesuai atau untuk waktu yang terlalu lama juga akan menyebabkan kemurungan dan tekanan mental kepada mereka.

Kesan internet yang lebih besar dan positif secara realistiknya boleh dijana oleh masyarakat Muslim seluruh dunia. Internet bukanlah musuh kita. Perkara yang harus dielakkan ialah jerat ketagihan internet sama ada melalui komputer atau terutamanya bila menggunakan telefon pintar mudahalih. Teknologi ini adalah satu keistimewaan dan sepatutnya menjadikan kita lebih baik dan lebih bijaksana, janganlah biarkan ia menunjukkan kebodohan kita. Manfaatkan ia untuk keperluan sahaja. Walaupun tradisi dunia Islam amnya masih ragu-ragu terhadap pengaruh teknologi massa, termasuk internet yang dianggap mengganggu dan boleh memudaratkan, namun kita tidak boleh menidakkan yang ia dapat memberi faedah yang banyak kepada dunia Islam.