Uniknya menara berpusar Malwiya di Masjid Samarra, Iraq

Timur Tengah Md Wa'iz
Uniknya menara berpusar Malwiya di Masjid Samarra, Iraq
Uniknya menara berpusar Malwiya di Masjid Samarra, Iraq © whc.unesco.org

Uniknya menara berpusar Malwiya di Masjid Samarra, Iraq. Ia tidak sama seperti kebanyakan menara masjid yang kita kenali. Jika dilihat buat pertama kali, ia langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seni bina Islam, apatah lagi sebagai menara masjid.

Ini kerana menara masjid ini adalah sebuah menara berpusar. Apa yang dimaksudkan menara berpusar?

Masjid Samarra pernah menjadi masjid terbesar dunia selama 400 tahun

Masjid Samarra juga dikenali dengan nama seperti Masjid Agung Samarra atau Masjid Besar Samarra. Ia telah dibina oleh Khalifah Al-Mutawakkil semasa zaman pemerintahan Bani Abbasiyyah pada tahun 848 Masihi.

Pada zamannya, masjid ini dikatakan sebagai masjid terbesar di dunia dan dibina di tebing Sungai Tigris. Statusnya kekal sebagai sebuah masjid terbesar di dunia selama hampir 400 tahun sebelum ia dimusnahkan oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Hulagu Khan pada tahun 1278.

Apa yang tinggal kini hanyalah dinding luar masjid beserta menara berpusarnya sahaja. Bahagian dalam masjid telah musnah sama sekali.

Dinding luarnya berketinggian 10 meter dan berketebalan 2.65 meter. Ia mempunyai 16 pintu masuk dengan 17 laluan atau lorong di dalam masjid.

Uniknya menara berpusar Malwiya di Masjid Samarra

Ciri yang paling terkenal pada Masjid Agung Samarra ini adalah menara masjidnya. Menara masjid ini dinamakan sebagai Menara Malwiya yang bermaksud menara yang berpusing atau berpusar. Ia juga membawa maksud menara cengkerang siput.

Menara masjid ini dibina dengan ciri tangga luarannya yang berpusing daripada bawah sehingga ke puncak menara tersebut. Ketinggian menara ini ialah setinggi 52 meter dengan tapak asasnya mencapai kelebaran 33 meter.

Pada asalnya, masjid ini bersambung dengan bangunan masjid melalui sebuah jambatan. Pada zaman dahulu, sesiapa sahaja yang berada di kawasan Samarra boleh melihat menara ini dengan amat jelas.

Strukturnya yang besar dan tinggi seolah-olah ingin menandakan kehadiran Islam yang kuat di sekitar lembah Sungai Tigris.

Puncak menara pernah rosak akibat dibom

Pada tahun 2005, puncak menara masjid ini pernah mengalami kerosakan yang teruk susulan dibom. Ini kerana tentera Amerika Syarikat pernah menggunakannya sebagai menara tinjau ketika Perang Iraq. Tidak diketahui dengan jelas siapakah yang bertanggungjawab melakukan pengeboman tersebut.

Pada tahun 2007, pihak UNESCO telah memberikan status Tapak Warisan Dunia kepada Bandar Arkeologi Samarra. Masjid ini termasuk sekali dalam kawasan tapak bandar tersebut. Pengiktirafan ini bertujuan melindungi kawasan masjid dan persekitarannya daripada terus dirosakkan.

Pada tahun 2015 pula, Kerajaan Iraq bersama-sama pihak UNESCO telah menandatangai perjanjian bagi memulakan usaha konservasi tapak arkeologi ini, termasuklah bangunan Masjid Agung Samarra.

Untuk pengetahuan anda, masjid ini sudah lama tidak digunakan lagi sejak abad ke-11. Namun, menara masjid ini kekal berdiri sebagai salah satu lambang seni bina Islam yang hebat daripada zaman Abbasiyyah.