Uniknya salad Arab Fattoush kerana turut menggunakan roti

Makanan Sihat Md Wa'iz
Pilihan oleh Md Wa'iz
Uniknya salad Arab Fattoush kerana turut menggunakan roti
Uniknya salad Arab Fattoush kerana turut menggunakan roti © Marina Gorevaya | Dreamstime.com

Jika dunia barat terkenal dengan pelbagai jenis hidangan salad, orang Arab juga mempunyai versi salad mereka mereka yang disebut Fattoush. Apa yang lebih menarik, salad Arab ini bukan hanya mengandungi sayur-sayuran, tetapi turut mempunyai kepingan roti di dalamnya.

Bagaimana untuk membuatnya?

Fattoush: salad Arab dengan cebisan roti

Ada yang menyebut Fattoush. Ada juga yang menyebutnya Fattush, Fatush, Fattoosh atau Fattouche. Jangan keliru, ini kerana kesemuanya merujuk kepada hidangan yang sama. Fattoush adalah jenis salad khusus daripada budaya orang Arab.

Ia adalah sejenis salad roti. Salad ini dihasilkan dengan mencampurkan roti bersama-sama campuran sayur-sayuran. Berbeza dengan salad Tabbouleh yang mana sayurnya dipotong kecil, sayuran dalam salad Fattoush dipotong secara kasar atau lebih besar.

Ia dikatakan berasal dari kawasan utara negara Lubnan. Pada awalnya, salad Fattoush ini dibuat dengan menggunakan cebisan baki roti daripada hidangan sebelumnya untuk mengelakkan pembaziran roti.

Baki roti ini biasanya akan digoreng dengan sedikit minyak zaitun terlebih dahulu bagi menaikkan rasanya.

Ini cara membuat salad Fattoush

Untuk membuat Fattoush, anda memerlukan beberapa jenis bahan untuk menjadikannya satu hidangan yang enak dan lengkap. Antara bahan-bahan yang perlu anda sediakan ialah:

Bahan untuk salad:

  • 2 keping roti pita
  • Minyak zaitun
  • Suku bahagian salad yang telah dipotong
  • 1 biji timun yang dipotong dadu
  • 4 biji tomato yang dipotong halus
  • Satu cawan daun bawang yang dipotong halus
  • Satu cawan daun ketumbar yang dipotong halus
  • Secawan daun pudina yang dipotong halus
  • Sedikit garam
  • Sedikit serbuk lada hitam

Bahan untuk dressing:

  • Setengah biji jus lemon
  • 2 sudu besar madu
  • 2 ulas bawang putih yang dicincang halus
  • Sedikit garam

Cara membuatnya:

  1. Panggang sebentar roti pita di dalam ketuhar sehingga agak garing. Keluarkan dan potong kecil roti tersebut. Panaskan minyak zaitun di dalam kuali dan masukkan roti tersebut kedalam kuali tersebut. Goreng sebentar roti tersebut sehingga menjadi sedikit kecoklatan. Masukkan sedikit garam keatas roti tersebut
  2. Masukkan kesemua sayur-sayuran yang telah dipotong kedalam sebuah mangkuk besar agar mudah untuk digaul
  3. Untuk dressing salad, gaulkan kesemua bahan dressing tersebut dalam satu mangkuk kecil. Kemudian, tuangkan keatas sayur-sayuran yang telah dicampurkan tadi
  4. Akhir sekali, masukkan roti yang telah digoreng tadi kedalam salad tersebut dan gaul sehingga kesemuanya menjadi sebati. Hidangkan

Gunakan jenis sayuran yang anda mahu

Untuk jenis sayuran dalam salad ini, anda tidak semestinya perlu mengikuti jenis sayuran seperti yang dinyatakan. Anda boleh menggunakan pelbagai jenis sayuran lain mengikut kemahuan anda.

Anda juga boleh menambah bilangan sayuran yang ingin digunakan supaya Fattoush anda lebih bervariasi dan enak.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.