Unsur ketuhanan dan genre filem seram

dreamstime_s_7381054
Unsur ketuhanan dan genre filem seram © Kheng Ho Toh | Dreamstime.com

Genre seram dalam filem merupakan antara genre yang diminati penonton seluruh dunia. Malah, genre ini antara tiga genre popular di samping genre aksi dan cinta, walaupun kadangkalanya ia disatukan bersama genre debaran (atau thriller di dalam Bahasa Inggeris).

Meskipun genre seram dimasukkan pelbagai elemen yang menakutkan seperti watak hantu yang berwajah buruk, darah atau organ manusia yang menggelikan tekak, latar tempat yang gelap, latar muzik yang meremangkan bulu roma, dan sudah tentu elemen yang tidak asing dalam genre ini iaitu babak jump scare yang mampu membuatkan jantung penonton terhenti seketika, namun genre ini tetap memiliki kumpulan peminatnya yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, di sebalik kepopularan filem seram, wujudnya sebahagian ahli akademik dan ahli politik yang membangkang keras kerancakan pembikinannya. Mereka berpendapat filem seram berpotensi melemahkan akal fikiran, merosakkan jiwa terutamanya kanak-kanak dan remaja, serta mampu membuatkan masyarakat mundur dek ketakutan kepada hantu atau makhluk halus.

Malahan, sebahagian agamawan Islam juga tidak ketinggalan mengkritik filem seram dari sudut pandang Islam, di mana mereka menyifatkan filem ini mampu merosakkan akidah Islamiah kerana kewujudan unsur tahyul dan khurafat, khususnya membuatkan penonton lebih takutkan hantu atau makhluk halus berbanding Allah SWT.

Tidak dinafikan, pernyataan-pernyataan tersebut ada benarnya. Namun, dalam satu sudut pandang yang lain, filem seram terutamanya yang berunsur keagamaan dan ketuhanan mampu menyampaikan mesej dan nilai murni kepada penonton.

Dalam dua dekad ini, unsur keagamaan dan ketuhanan telah dimasukkan dalam filem seram, terutamanya negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia. Majoriti filem seram dari Malaysia contohnya, memasukkan ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding mendepani gangguan hantu atau makhluk halus, dan juga mengetengahkan isu syirik dalam masyarakat seperti penggunaan sihir atau ajaran sesat.

Sebagai contoh, filem Munafik dan Munafik 2 arahan Syamsul Yusof menyampaikan pelbagai mesej dan nilai dakwah Islam, seperti pertolongan Allah SWT yang pasti hadir untuk hamba-Nya yang beriman, sebagaimana Ustaz Adam protagonis utama kedua-dua filem ini yang berjaya mendepani cabaran antagonis-antagonis meskipun mereka menggunakan sihir dan berdamping dengan syaitan.

Contoh lain pula seperti filem Sebelum Iblis Menjemput arahan Timo Tjahjanto dari Indonesia, mempersembahkan tema kebergantungan kepada Tuhan dan bukan selain-Nya. Tema ini disampaikan oleh watak Lesmana, di mana dirinya tegar membuat perjanjian dengan Iblis demi menjadi seorang pengusaha yang berjaya, walaupun akhirnya ditimpa masalah akibat implikasi perjanjian tersebut.

Tidak dinafikan, kedua-dua filem ini sarat dengan pelbagai elemen yang menakutkan seperti disebutkan tadi. Namun, kedua-duanya tetap sarat dengan pelbagai mesej dan nilai murni khususnya berkaitan unsur keagamaan dan ketuhanan. Malah dari sudut pandang Islam, kedua-dua filem ini mampu menguatkan akidah Islamiah, di mana terbukti jelas kekuasaan Allah SWT yang tiada tandingan meskipun hantu dan Iblis tampak menakutkan dan berkuasa.

Tuntasnya, filem seram bukanlah sekadar filem yang menakutkan penonton, namun ia juga mampu membawa penonton kembali bergantung kepada Tuhan, dan tidak meminta bantuan hantu, Iblis atau selain-Nya dalam kebergantungan hidup mereka. Tidak ketinggalan, para pengarah atau sutradara filem seram khususnya, perlulah lebih banyak mengetengahkan unsur keagamaan dan ketuhanan dalam pembikinan filem seram, agar lebih ramai lagi penonton selaku hamba Tuhan, untuk kembali bergantung kepada-Nya.