Untuk wanita dan ahli keluarga – Islam dan rumah tradisional Melayu

dreamstime_s_158305813
Rumah Tok Su, rumah tradisional Melayu di Alor Setar, Kedah © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Tahukah anda, struktur atau seni bina rumah kediaman tradisional Melayu sebenarnya amat menekankan nilai-nilai keislaman dalam pembinaannya? Bagaimana nilai-nilai ajaran Islam dipertimbangkan dan diterapkan dalam seni bina rumah tradisional Melayu?

Nilai Islam dan seni bina rumah Melayu

Islam amat menekankan penjagaan maruah wanita dan pengasingan antara kaum lelaki dan wanita yang bukan mahram. Bagi merealisasikan tujuan ini, kebanyakan seni bina rumah Melayu tradisional mengambil kira kewujudan ruangan untuk kegunaan umum dan ruangan khas hanya untuk ahli keluarga.

Ada ruangan di mana hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan berada di ruangan tersebut. Ada juga ruangan yang dikhususkan sebagai ruangan sosial antara tuan rumah dan tetamu yang hadir.

Pengasingan ruangan khusus ini bertujuan menjaga ahli keluarga khususnya kaum wanita daripada bercampur gaul bersama lelaki yang bukan mahram. Ini bertujuan mengelakkan pencerobohan kehidupan peribadi tuan rumah oleh tetamu yang datang berkunjung.

Secara umumnya, ruangan dalam rumah tradisional Melayu boleh dibahagikan kepada dua zon umum. Perincian zon rumah adalah seperti berikut:

  • Zon 1: ruangan untuk kaum lelaki. Ruangan ini biasanya menempatkan tetamu bukan mahram dan ahli keluarga lelaki. Ia biasanya terdiri daripada ruang serambi luar dan juga bahagian hadapan rumah.
  • Zon 2: ruangan untuk kaum wanita. Ruangan ini biasa menempatkan tetamu wanita dan juga ahli keluarga perempuan yang lain. Ia melibatkan ruangan seperti rumah ibu yang menempatkan bilik tidur dan juga dapur rumah.

Bagi setiap rumah Melayu, ia mempunyai pintu masuk khusus untuk kaum perempuan. Kedudukan pintu ini terletak di bahagian rumah ibu atau di bahagian sisi tengah rumah dan juga pintu di bahagian dapur.

Tujuannya adalah untuk mengelakkan kaum wanita berkongsi pintu masuk di bahagian hadapan bersama kaum lelaki yang bukan mahram. Ini jelas menunjukkan bahawa nilai seni bina Melayu amat mementingkan kehormatan dan maruah wanita.

Dalam seni bina rumah Melayu tradisional juga, kebanyakan daripada bilik tidur kaum wanita terletak di bahagian belakang yang berhampiran dengan ruangan dapur. Bilik-bilik dalam rumah Melayu biasanya diperuntukkan untuk pasangan suami isteri, ibu bapa dan juga wanita yang belum berkahwin.

Bilik tidur bukan sahaja berfungsi sebagai ruangan tidur, tetapi juga sebagai ruang untuk menunaikan solat, menukar pakaian dan berehat.

Ruangan ini amat penting bagi kaum perempuan memandangkan ia adalah ruang yang paling bersifat peribadi untuk mereka dan melindungi aurat mereka daripada pandangan orang lain.

Seni bina rumah tradisional ini jelas menggambarkan penerapan nilai ajaran Islam yang kuat dalam pembinaannya. Kesemuanya bertujuan untuk menjaga privasi ahli keluarga tuan rumah, menjaga maruah dan aurat wanita serta memudahkan urusan antara ahli keluarga dan juga tetamu yang datang bertandang.