Untung ini paling bermakna!

Doa 17 Jan 2021 Zalika Adam
Pendapat oleh Hagnas
Untung yang paling bermakna!
Untung yang paling bermakna! © Leo Lintang | Dreamstime.com

Kesan koronavirus COVID-19 memang sukar dijangka. Ekonomi jatuh di seluruh dunia. Bilangan pesakit terus berganda. Ramai pula hilang kerja. Tak kurang yang dihimpit tekanan jiwa. Pendek kata, hampir setiap anggota masyarakat di seluruh pelusuk dunia terkesan dengan  wabak ini, banyak atau sedikit.

Jadi, di mana untungnya kita? Kesihatan, kewangan dan ketenangan hampir semuanya terkesan. Peniaga kecil dan besar, banyak yang gulung tikar. Hubungan keluarga dan saudara, kini terhad tidak seperti biasa.

Untung yang tidak dirasa

Pelitup wajah sentiasa di muka, jarak pula kena jaga. MasyaAllah, sekali pandang banyak yang kurang. Tetapi, Allah Maha Penyayang. Biarpun mungkin besar ujian ini, nikmat Allah SWT tidak bertepi. Banyak sekali.

Dulu manusia selalu mengadu. Kerja sibuk, hidup tak menentu. Letih bekerja, pendapatan masih sama. Pulang ke rumah, hari pun dah senja. Anak dan keluarga, kurang bersama. Cuti bekerja pun tidak seberapa. Inilah cerita kita, sebelum pandemik koronavirus COVID-19 melanda. Tiada masa bersama keluarga. Jarang dapat bersama.

Kini sebenarnya jauh berbeza sejak COVID-19 ada. Kita makin banyak masa bersama. Banyak masa kita di rumah. Keluar rumah amatlah payah. Kena COVID nanti susah. Jadi, janganlah pula kita resah. Utamakan kesihatan demi hidup yang indah.

Masa kita kini banyak di rumah, bersama anak dan isteri kita. Bukankah ini sangat indah, melihat mereka di depan mata. Anak-anak kita sebenarnya amat gembira. Kita yang dulunya sibuk, kini banyak masa bersama.

Untung yang paling bermakna

Bahkan masa yang semakin ‘banyak’ ini amat berguna. Sekurang-kurangnya boleh kita membaca al-Quran lebih dari biasa. Dulu kita sibuk, hampir tiada masa. Sukar nak pegang al-Quran, apalagi mahu dibaca.

Sekarang kita untung sebenarnya. Untungnya kita banyak masa dengan keluarga. Untungnya kita dapat membaca al-Quran dan menghayati maknanya. Saat diuji COVID-19 ini sebenarnya sangat bermakna.

Terasa betapa lemahnya diri kita. COVID yang begitu kecil ini telah menyerang seluruh dunia. Maka inilah saatnya kita kembali kepada-Nya. Kembali memohon keampunan, pertolongan dan perlindungan dari-Nya.

Inilah keuntungan yang paling bermakna. Kembali kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.