Urus masa hidup sempurna

Kepentingan masa © Jovani Carlo Gorospe | Dreamstime.com

Masa adalah makhluk Allah SWT yang sangat berharga.  Sekali kita terlepas masa yang berharga itu, kita tidak boleh memutar kembali  masa yang telah terlepas itu.  Masa tidak pernah menunggu kita, tetapi kitalah yang perlu mengurusnya dengan baik dalam meniti kehidupan ini.

Begitu berharganya masa sehingga Allah SWT telah bersumpah demi masa bahawa manusia yang mengabaikannya berada dalam kerugian. “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr, ayat 1-3)

Dalam aturan hidup kita, Allah SWT telah menentukan banyak perkara untuk diikuti oleh hamba-Nya. Cuma kita sahaja yang tidak sedar. Sebagai mukmin yang beriman, kita wajib akur dengan peraturan ini untuk mencipta kejayaan di dunia dan yang paling penting kesempurnaan di akhirat.

Allah SWT menetapkan kita melaksana solat lima waktu sehari supaya kita sentiasa menghargai dan menepati masa. Setiap pagi sebelum fajar menjelma, kita diwajibkan  solat Subuh sebagai persediaan menghadapi hari baharu.  Paling baik sekiranya kita dapat mengerjakan solat sunat Subuh terlebih dahulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Kemudian pada waktu tengah hari pula, kita diwajibkan solat Zohor sebelum bertebaran semula ke serata ceruk muka bumi mencari rezeki.  Setelah petang menjelma, kita akan berhenti seketika lagi untuk menunaikan solat Asar.  Sementara menunggu waktu Maghrib, kita menyambung tugasan atau pulang ke rumah masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.

Waktu petang biasanya kita melakukan aktiviti sukan.  Inilah masanya untuk bersama isteri dan anak-anak melakukan riadah dan merehatkan minda.  Belum sempat peluh mengering, remang senja muncul dan kita perlu kembali ke rumah menunaikan kewajipan menunaikan solat Magrib dan Isyak.

Maghrib adalah waktu untuk kita berjemaah bersama keluarga.  Sebelum menikmati makan malam, kita luangkan sedikit masa yang ada untuk membaca al-quran, kalam Allah yang penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Sebagai ketua keluarga, kita juga perlu melihat keadaan anak-anak dan membantu mengajar mereka mengenal al-quran kerana tidak kira kecil atau besar seseorang anak, mereka masih perlukan bimbingan.

Dalam melayani anak-anak, jangan diabaikan waktu bermesra dengan isteri tercinta.  Isteri juga perlukan perhatian. Sepanjang hari di rumah mengurus keperluan keluarga juga pekerjaan yang meletihkan.  Bagaimana penatnya suami di tempat kerja begitu juga letihnya isteri di rumah.

Begitulah aturan masa yang perlu kita urus. Allah SWT mengurniakan setiap daripada kita 24 jam sehari.  Justeru, rancanglah masa anda supaya dalam kekusyukan beribadah  kepada Yang Maha Esa, kita masih berupaya meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

Kita juga boleh berlaku adil dengan pasangan dan anak-anak serta sempat bersilaturahim dengan jiran tetangga, sahabat dan handai taulan.   Urusi masa anda dan hidup akan lebih sempurna.