Usah berdukacita, Allah bersama kita

Sahsiah Syed Safri 18-Mei-2020
Jangan bersedih, Allah bersama kita © Angelo Cordeschi | Dreamstime.com

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Al-Imraan, ayat 139)

Apakah sukar bagi kita untuk terus menerus positif dalam kehidupan? Sudah pasti kita mempunyai perasaan takut dan bimbang secara semula jadi. Namun, jangan lupa untuk terus beringat bahawa Yang Maha Memelihara senantiasa melindungi dan mengawasi manusia.

Jika perasaan dan keadaan kita jatuh lemah atau sedih, kita harus bersungguh-sungguh untuk menegur diri sendiri bahawa jika kita berserah sepenuhnya kepada Allah SWT, kita akan merasa aman tenteram dan kurang terganggu oleh masalah tadi.

Umum mengetahui bahawa sesiapa yang bertawakal kepada Allah SWT, perkara itu sudah cukup bagi sesiapa yang berserah dan disertai dengan usaha. Maknanya, letakkan percaya kita kepada Allah  dalam semua perkara. Tetapkan sepenuh hati dan fikiran bahawa Allah sahaja satu-satunya sumber pertolongan kita, dan hanya Dia yang menguasai semua perkara.

Kadang-kadang, bila terasa sedih atau takutkan sesuatu, kita mungkin rasa tidak bersemangat hingga lupa untuk berdoa. Oleh itu, terus sahaja pusatkan perhatian dengan rendah hati kepada Allah SWT dan berpaling meminta pertolongan-Nya. Allah berfirman dalam Al-Quran: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Al-Ghaafir, ayat 60)

Inilah titah Yang Maha Pemberi. Maka, janganlah gagal berdoa dan melakukan ibadah yang mencukupi hanya kerana sudah terbiasa leka dengan masalah tadi. Hakikatnya, berdoa kepada Allah SWT dalam situasi begitu adalah satu-satunya cara yang benar-benar memberi manfaat kepada kita.

Kepada Allah SWT yang mengetahui segala sesuatu kita berserah dalam segala kesukaran. Hanya Tuhan yang dapat melihat dan tahu apa yang kita lalui, atau apa yang tidak boleh kita lakukan. Allah sahaja yang tahu apa yang kita tanggung dan perkara yang tidak dapat kita bendung.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Baqara (2), ayat 286: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

Bila kita keseorangan dan dilanda kesedihan, tiada seorang pun yang benar-benar dapat memahami. Mungkin kita mencari ketenangan atau kepuasan di tempat yang salah. Dan semua orang ada masalah yang tersendiri. Walaupun itu perasaan kita, sebenarnya kita tidak sendiri dan Allah SWT itu sentiasa bersama kita di mana sahaja kita berada.

Fikirkan perkara ini, yang Allah SWT sentiasa bersama kita. Fokus kita adalah untuk menggembirakan-Nya, bukan ciptaan-Nya. Hayati sabda Allah dalam Al-Quran, surah Taa-Haa (20), ayat 46: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.”

Fahami bahawa Allah SWT bersama kita sepanjang masa. Allah melihat segala kesusahan, setiap masalah dan tangisan air mata. Kepada Allah kita harus bertawakal sepenuhnya. Ingatlah bahawa hidup ini adalah ujian bagi kita dan ia tidak hadir dalam bentuk yang sempurna.