Usah bimbang, Allah SWT paling berkuasa atas semua perkara

dreamstime_s_145145110
Usah bimbang, Allah SWT paling berkuasa atas semua perkara © motortion | Dreamstime.com

Ketakutan adalah perasaan semula jadi yang biasa dialami dalam kehidupan. Kita mungkin berasa seolah-olah tersesat, bingung dan tiada tempat untuk meminta pertolongan kerana berfikir telah kehilangan setiap jalan yang ada.

Dalam situasi ini, dengan niat yang ikhlas, sangat penting kita berbalik semula kepada Allah SWT. Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Janganlah kamu khuatir, sesungguhnya Aku bersama-sama kamu, Aku mendengar dan melihat segala-galanya.”

(Surah Taha, ayat 46)

Allah SWT paling berkuasa atas semua perkara

Kita mungkin berasa takut menerima berita buruk mengenai kesihatan sendiri. Mungkin juga berasa tidak sihat dan perlu menjalani ujian di hospital. Menunggu keputusannya mungkin sukar sehingga anda terasa seolah-olah tidak dapat meneruskan rutin harian dengan cara normal.

Anda harus mengingatkan diri bahawa Allah SWT paling berkuasa atas semua perkara  sama ada dalam keadaan kesihatan yang baik mahupun sakit. Ia adalah ujian terhadap tahap keimanan anda.

Adakah kita menggunakan kesihatan dengan cara yang betul? Sekiranya anda sakit, adakah anda akan terus meletakkan kepercayaan kepada Allah SWT dan benar-benar percaya bahawa Dia adalah sumber pertolongan utama?

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“(Janganlah kamu taat kepada mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia-lah sebaik-baik Penolong.”

(Surah al-i Imran, ayat 150)

Seseorang mungkin mempunyai pekerjaan tetapi bimbang kehilangannya. Mungkin juga syarikat tempat kita bekerja kerugian besar mengakibatkan pengurangan pekerja. Anda mungkin takut akan perkara yang bakal berlaku dan bagaimana anda akan mencari pekerjaan lain. Perkara ini berlegar-legar dalam fikiran kerana bimbang tidak dapat menampung diri  atau keluarga dan kesan terhadap masa hadapan.

Allah SWT mendatangkan ujian agar kita mengingati-Nya

Ingatlah bahawa Allah SWT telah mentakdirkan apa yang akan berlaku esok. Usah bimbang, berdoalah kepada Allah untuk menolong anda mengharungi kesulitan ini. Mungkin hubungan anda semakin jauh dengan-Nya kerana terlalu fokus bekerja.

Justeru, Allah SWT mendatangkan ujian agar kita mengingati-Nya dan seterusnya menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua. Tanpa disedari, semua solat sunat yang dilakukan dan doa-doa yang dipohon kerana bimbang tentang pekerjaan, mendorong memperteguh keimanan.

Pada akhirnya, terselit makna di sebalik semua yang anda lalui dalam kehidupan ini dan anda harus bersyukur kerana setiap kesukaran ini telah meningkatkan ingatan kepada Pencipta kita.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Baqarah, ayat 216)

Oleh itu, setiap kali kita bimbang akan sesuatu, sama ada bimbang terhadap seseorang mahupun takut untuk menduduki peperiksaan, ingatlah akan firman Allah SWT ini di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah Pelindung orang-orang  yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman).”

(Surah al-Baqarah, ayat 257)