Usah jadikan berkata kesat sebagai tabiat

Sahsiah Hagnas 15-Ogo-2020
Jaga tabiat dalam berkata-kata © Zurijeta | Dreamstime.com

Sedarkah kita bahawa ramai dalam kalangan masyarakat yang suka bercakap perkataan yang tidak baik? Perkataan yang tidak baik boleh menyebabkan kesan yang juga tidak baik. Sekiranya anda berkata kesat dalam keadaan sedang marah tentunya perasaan marah itu akan berpindah kepada orang yang mendengar perkataan kesat anda.

Bagaimanakah untuk kita mengelakkan diri daripada berkata kesat? Bila anda rasa marah di saat sedang berdiri, mungkin anda boleh cuba duduk. Sekiranya anda rasa marah di saat anda sedang duduk, cuba ubah kedudukan kepada berbaring ataupun berjalan-jalan.

Banyakkan beristighfar dan sentiasalah berdoa kepada Allah SWT supaya Allah menjaga hati dan mulut kita.

Allah Maha Penyayang. Rahmat dan keampunan-Nya sangat luas. Walaupun Allah SWT suka mendengar doa dan menerima permintaan hamba-Nya, Allah tidak menerima atau mengabulkan permintaan, kata-kata atau doa buruk hamba-hamba-Nya saat mereka marah.

Saat marahkan anak, suami ataupun isteri, mulut tiada penapis hingga menyebabkan keluarlah kata-kata yang tak sepatutnya dilafazkan dari mulut kita sebagai ibu, bapa atau pasangan. Pada saat ini, Allah SWT memaafkan kita dan tidak mengabulkan permintaan buruk kita itu.

Berusahalah untuk tidak menuturkan kata-kata kesat walaupun dalam keadaan marah. Cubalah diam, minum air atau makan  saat ingin berkata buruk. Sangat besar kesannya pada pendengar jika kata-kata kesat ini sudah menjadi tabiat dan selalu berkumandang di gegendang telinga mereka.

Bagaimana pula bila kata-kata yang kita lafazkan dari mulut kita hanya kata-kata kesat sahaja. Fasihnya seperti air mengalir. Jika kita saban hari marah kepada anak-anak dan pasangan kita dan kata-kata kesat yang pada mulanya keluar saat kita marah sahaja sebelumnya, kini sudah menjadi biasa dan keluar dari mulut kita saat kita tidak pun marah.

Maka waspadalah kerana saat itu mungkin saat Allah SWT makbulkan permintaan,doa dan kata-kata buruk kita itu kerana kata kesat yang sudah menjadi tabiat. Semoga Allah ampuni diri kita dan berikan kesedaran dan hidayah-Nya kepada kita semua.