Usaha dan reda hadapi pasca-COVID-19

Kehidupan Hanita Hassan 13-Mei-2020
Jalan Raja, Kuala Lumpur lengang akibat COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Semua yang berlaku dalam hidup kita telah ditakdirkan Allah SWT. Sebagai seorang mukmin yang beriman, kita perlu percaya bahawa Allah SWT menentukan segala-galanya di langit dan di bumi.

Setiap kejadian yang berlaku pasti terkandung hikmah yang cukup besar sekiranya kita bersabar dan bersyukur dengan kurnia-Nya.  Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang mencipta segala sesuatu lalu menentukan keadaannya dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (Surah al-Furqan, ayat 2)

Ramai dalam kalangan kita yang terkait secara langsung sejak penularan pandemik COVID-19 lebih tiga bulan lalu.  Ia bukan sahaja meragut nyawa orang yang kita sayang, juga telah melumpuhkan ekonomi individu, negara dan dunia.  Ada yang dipaksa mengambil cuti tanpa gaji dan tidak kurang juga yang dipotong gaji di antara 20-50%. Pengangguran dijangka meningkat  kerana banyak organisasi yang terpaksa mengecilkan operasi dan tidak kurang juga yang  menutup operasi mereka.

Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menjangkakan seramai 2.4 juta orang akan kehilangan pekerjaan di negara kita di mana 67% daripadanya adalah pekerja tidak mahir dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.  Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini meramalkan, masalah pengangguran di negara kita akan mencapai paras sehingga empat peratus.

Masalah pengangguran bukan sahaja menghimpit Malaysia, tetapi juga rakyat di negara-negara lain di seluruh dunia.  Dalam tempoh sebulan sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 22 juta rakyat di Amerika Syarikat yang telah memohon bantuan pengangguran daripada kerajaan.

Jika kita singkap kisah ibu Nabi Isa a.s., Maryam a.s. adalah contoh jelas betapa perlunya bersabar dan berusaha ketika melalui ujian dalam hidup. Perkara itu dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma), dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang.” (Surah Maryam, ayat 23)

Walau bagaimanapun, dengan kesabaran dan rasa reda dalam diri, Allah SWT menganugerahkan pertolongan untuk Maryam a.s. pada saat ingin melahirkan kandungannya. Begitu besarnya ujian yang diharungi oleh Maryam.

Percayalah, fajar baharu akan muncul di sebalik semua kejadian ngeri yang dihadirkan oleh Allah SWT.  Apa yang penting, kuatkan semangat dan tidak putus asa.  Teruskan usaha, tingkatkan ilmu dan bertawakal kepada Allah SWT.  Semoga Ramadan memberi kekuatan dalaman kepada kita untuk terus sabar mengharungi apa juga rintangan.