Ustaz Ebit & Uncle Kentang menyantuni masyarakat

Kehidupan Chan Abdullah 25-Jun-2020
Ustaz Ebit Liew © facebook.com/ebitlewofficialpage/

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan, nama Ustaz Ebit Lew semakin mendapat perhatian masyarakat. Ahli perniagaan, penceramah motivasi dan pendakwah bebas ini gigih menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP.

Ustaz Ebit atau nama sebenar, Ebit Irawan Ibrahim Lew bukanlah nama asing dalam komuniti Melayu Muslim sebelum ini. Beliau mempunyai rancangan televisyen sendiri yang berjudul Door to Door Ebit Lew di stesen televisyen Astro. Cuma sejak PKP, perkembangan kerja amal Ustaz Ebit semakin menjadi ikutan dan mendapat perhatian masyarakat.

Antara sebab utama ialah cara Ustaz Ebit memberikan bantuan dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik ini. Risau akan ada golongan yang terputus sumber rezeki dan makanan sewaktu PKP, beliau bertekad menghulurkan bantuan. Beliau menyantuni golongan yang memerlukan dengan penuh kasih sayang tanpa menilai mereka. Malah lebih menyentuh hati masyarakat, beliau membantu tanpa mengira bangsa dan agama.

Apa yang menarik ialah beliau gemar menggunakan istilah hadiah ketika memberi sumbangan. Malah beliau tidak pernah lekang memberi semangat kepada penerima sumbangan melalui kata-kata nasihat. Antara kata nasihat beliau yang paling popular pastinya “Saudaraku, di sebalik ujian ada rahmat.”

Sifat lemah lembut dan kasih sayang beliau membuatkan orang ramai menyukai Ustaz Ebit dan menyokong misi kemanusiaan beliau. Malah melalui contoh dan tauladan yang ditunjukkan oleh beliau, ramai rakyat Malaysia yang turut sama menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Sifat dermawan beliau menjadi pembakar semangat bagi orang lain untuk turut sama beramal membantu golongan yang memerlukan.

Cakna pada kesusahan rakyat Malaysia, Encik Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang giat menjalankan aktiviti-aktiviti amal. Antara projek-projek amal beliau yang terkenal ialah Pasar Sepuluh Sen dan Ambulans Sepuluh Sen.

Menurut Encik Chee Heng, usaha yang dijalankan beliau adalah untuk membantu mereka yang dalam kesusahan. Projek-projek amal beliau bertumpu di kawasan sekitar Lembah Klang, terutamanya di kawasan Projek Perumahan Kos Rendah (PPKR).

Khidmat Ambulans sepuluh sen yang diperkenalkan adalah bertujuan membantu pesakit kronik yang memerlukan rawatan di hospital terutamanya pesakit kanser dan juga strok. Sepertimana namanya, pesakit hanya perlu membayar tambang sebanyak sepuluh sen untuk menggunakan perkhidmatan ambulans yang disediakan.

Pasar sepuluh sen yang diperkenalkan beliau pula menjual barang-barang terpakai seperti pakaian, kelengkapan rumah, barangan bayi, mainan dan pelbagai jenis barangan keperluan. Barang-barang ini kebanyakan adalah sumbangan dari orang ramai dan masih berada dalam keadaan yang baik.

Selain itu, Encik Chee Heng juga turut menyediakan dapur umum di Puchong bagi golongan yang kurang bernasib baik. Projek amal dan kebajikan yang dilakukan beliau mendapat rekasi yang baik dari  masyarakat. Ramai yang turut serta menyumbang bagi menjayakan kerja-kerja amal beliau.

Penjelasan Uncle Kentang amat menarik hati. Bagi beliau segala kerja-kerja amal yang dilakukan adalah sebagai saham akhirat beliau nanti. Semoga satu hari nanti Allah SWT memberikan hidayah kepada beliau untuk memeluk Islam.

Kerja-kerja amal kebajikan dan sumbangan dua warga Malaysia ini berjaya menyuntik semangat buat rakyat Malaysia yang lain untuk turut berbakti kepada masyarakat. Teruskan usaha kalian!