Uzbekistan – Ibu kota kebudayaan Islam dunia

Melancong Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Uzbekistan - Ibu kota kebudayaan Islam dunia
Uzbekistan - Ibu kota kebudayaan Islam dunia (foto: Dataran Registan, Samarkand) © Sergey Dzyuba | Dreamstime.com

Walaupun terdapat pelbagai bangsa yang mendiami kawasan Asia Tengah, namun penduduk asal yang menetap di kawasan ini ialah orang Uzbekistan.

Ikuti fakta mengenainya dan lain-lain lagi mengenai Uzbekistan di bawah ini.

Pernah ditakluk oleh Genghis Khan

Negara Uzbekistan merupakan sebuah negara yang terletak betul-betul di tengah Laluan Sutera.

Laluan Sutera adalah laluan perdagangan terpenting pada satu masa dahulu yang menghubungkan Tanah Besar China dengan negara-negara Timur Tengah dan juga Eropah. Kedudukannya ini menjadikan ia sebagai kawasan yang direbuti oleh banyak pihak.

Sebagai contoh, pada abad ke-13, ia telah ditakluk dan diperintah oleh Genghis Khan dan kemudiannya disambung oleh anak keduanya, Chagatai Khan.

Orang pertama mendiami kawasan Asia Tengah

Walaupun terdapat beberapa bangsa lain yang telah lama menetap di Asia Tengah, seperti orang Kazakh dan orang Turk, namun orang-orang Scynthian diiktiraf sebagai manusia pertama yang menetap di kawasan ini.

Orang-orang Scynthian adalah nenek moyang kepada orang-orang Uzbek pada masa kini.

Mereka telah membina tamadun yang baik sehingga berjaya membina bandar terkenal seperti Samarkand dan juga Bukhara.

Majoriti penduduk beragama Islam

Sekitar empat per lima daripada keseluruhan penduduk di Negara Uzbekistan adalah orang-orang Uzbek. Manakala yang lainnya adalah mereka yang berketurunan Tajik, Kazakh, Tatar, Rusia dan juga Karakalpaks.

Orang-orang Uzbek pula majoritinya adalah penganut agama Islam Sunni iaitu sekitar 93.3%.

Boleh dikatakan, orang-orang Uzbek adalah antara bangsa yang paling taat dengan ajaran Islam di kawasan Asia Tengah.

Kadar literasi antara yang tertinggi di dunia

Walaupun Uzbekistan bukanlah sebuah negara yang boleh dikategorikan sebagai negara maju, namun kadar literasi iaitu kebolehan membaca dan menulis penduduknya adalah sangat tinggi.

Pada tahun 2016, kadar literasi kesemua penduduknya ialah 99.99%. Kajian menunjukkan bahawa, kadar literasi dalam kalangan penduduknya yang berumur 15 hingga 24 tahun adalah 100%.

Manakala penduduk dengan peringkat umur yang lain mempunyai kadar literasi sebanyak 99.99%. Ia sangat menakjubkan.

Mempunyai simpanan emas antara terbesar di dunia

Jika negara Asia Tengah lain terkenal dengan deposit atau simpanan gas terbesar, lain pula dengan Uzbekistan. Uzbekistan lebih terkenal dengan simpanan emas antara yang terbesar di dunia.

Uzbekistan mempunyai simpanan emas ke-4 terbesar di dunia. Daripada segi pengeluaran, Uzbekistan merupakan negara ke-7 paling aktif di dunia.

Lombong emas Uzbekistan di Muruntau yang dibuka sejak 1958, diiktiraf sebagai lombong emas terbuka paling besar di dunia.

Ibu kota kebudayaan Islam dunia

Walaupun bukanlah diiktiraf sebagai sebuah negara yang maju, namun Uzbekistan amat dikenali sebagai pusat kebudayaan Islam yang terkenal.

Negara ini terkenal dengan sejarah dan peninggalan Islam yang sangat indah dan menarik. Malah Uzbekistan juga dikenali sebagai ibu kota kebudayaan Islam.