Vaksin daripada perspektif Islam

Kesihatan 24 Dis 2020 Hanita Hassan
Pilihan oleh Hanita Hassan
Vaksin daripada perspektif Islam
Vaksin daripada perspektif Islam © Kunal Mahto | Dreamstime.com

Penularan wabak pandemik koronavirus atau COVID-19 yang muncul pada akhir 2019 menimbulkan kebimbangan kepada semua pihak bukan sahaja penduduk di Malaysia. Ia turut menakutkan penduduk di seluruh dunia.

Kematian pertama direkodkan di China pada 11 Januari 2020. Sehingga September 2020, selepas lapan bulan muncul di Wuhan, dunia merekodkan lebih sejuta kematian.

Vaksin daripada perspektif Islam untuk merawat koronavirus

Ketika ini, para saintis di seluruh dunia sedang berusaha membangunkan vaksin untuk melawan virus korona misteri ini.  Ia adalah perkembangan yang baik.  Namun, ia mungkin akan mengambil masa yang lama sebaik sebelum boleh didapati secara umum.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, vaksin mengandungi antigen, yang diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk meransang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Masyarakat di negara ini mungkin akan diwajibkan pengambilan vaksin COVID-19 sekiranya ia sudah ditemui.  Sebelum dasar mandatori itu dikeluarkan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka melihat terlebih dahulu keberkesanan dan kesan sampingannya.

Dalam Islam penggunaan vaksin bagi menambah imunisasi badan adalah diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan serangan beberapa penyakit berjangkit menyerang kembali kepada individu mahupun masyarakat sekeliling.  Ia seperti mana saranan para doktor dan institusi-institusi perubatan tempatan dan antarabangsa.

Gerakan penolakan pemberian vaksin oleh ibu bapa masa kini terus meningkat.  Begitu juga dengan kemunculan semula penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin meningkat dengan mendadak. Contohnya kematian disebabkan oleh demam campak, difteria serta batuk kokol akibat tiada imunisasi (Rujuk kenyataan akhbar KPK 22 Januari 2019 – Penyebaran Maklumat Tidak Sahih Berkaitan Imunisasi).

Vaksin – hak pesakit dan perintah pihak berkuasa

Benar pengambilan vaksin adalah hak autonomi bagi pesakit untuk mengambil vaksin atau tidak.  Namun ia perlu mengambilkira kesihatan orang lain. Tidak boleh kerana kehendak seseorang individu itu mengganggu maslahat orang lain tanpa kerelaan atau kemampuan orang yang lain. Islam membenarkan pemerintah menetapkan keperluan vaksinasi sebagai kewajipan kepada seluruh anggota masyarakat, berdasarkan prinsip maslahah (kepentingan awam).

Daripada Abdurrahman bin Auf r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  

“Apabila kalian dengar berlakunya taun di suatu tempat, maka janganlah kalian mendatangi tempat itu. Dan jika itu berlaku di suatu tempat sedangkan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu lari keluar daripadanya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 5729 dan Muslim, 2218)

Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a menggunakan hadis ini sewaktu berlakunya wabak taun Amawasy yang mengorbankan banyak nyawa.  Beliau menyokong polisi kuarantin bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan pada zaman pemerintahannya. Justeru pihak berkuasa berhak mengeluarkan perintah ke atas rakyat untuk menvaksinkan diri dan anak-anak mereka dan individu yang enggan, boleh dihukum.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui imunisasi, Smallpox (cacar) berjaya dibasmi (eradikasi) di seluruh dunia pada 1980. Poliomyelitis telah dibasmi di tiga rantau di bawah World Health Organisation (WHO) iaitu rantau Amerika, Eropah dan Pasifik Barat.

Malaysia mencapai status eradikasi polio pada Oktober 2000. Kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit cegahan vaksin telah berkurangan. Kita juga dilindungi daripada barah (kanser) tertentu seperti vaksin Human papilloma virus (HPV) untuk kanser pangkal rahim dan vaksin hepatitis B untuk kanser hati.