Vaksin Pfizer terbukti berkesan halang jangkitan COVID-19 sehingga 94%

Kesihatan Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Vaksin Pfizer terbukti berkesan halang jangkitan COVID-19 sehingga 94%
Vaksin Pfizer terbukti berkesan halang jangkitan COVID-19 sehingga 94% © Marc Bruxelle | Dreamstime.com

Sehingga hari ini, vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech telah menjadi antara jenis vaksin yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Bagaimana pula dengan keberkesanan vaksin Pfizer setakat ini?

Kelulusan kecemasan daripada FDA kepada vaksin Pfizer

Vaksin Pfizer-BioNTech telah menjadi vaksin pertama yang diluluskan penggunaannya untuk kegunaan kecemasan oleh Pentadbiran Ubat dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat.

Kelulusan yang diberikan oleh FDA pada 11 Disember 2020 memberi kebenaran untuk vaksin ini diguna pakai secara meluas di Amerika Syarikat.

Bahkan, setelah menerima kelulusan daripada pihak FDA, barulah banyak negara mula menggunakannya secara meluas.

Vaksin Pfizer tunjuk keberkesanan sehingga 94%

Terbaharu, kajian mengenai keberkesanan vaksin Pfizer ini telah menunjukkan bahawa ia mempunyai keberkesanan sehingga 94%.

Dalam kajian yang telah dilaksanakan terhadap 1.2 juta individu yang telah disuntik dengan vaksin Pfizer, ia jelas mengurangkan kes jangkitan tanpa simptom sebanyak 94%. Ia juga berjaya mengekang kes-kes jangkitan teruk sehingga 92%.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa, keberkesanan vaksin ini adalah sama dengan hasil keputusan ujian percubaan yang dijalankan sebelum ini.

Kajian terus dilaksanakan untuk halang varian baharu virus

Setakat ini, virus COVID-19 telah bermutasi dan sekurang-kurangnya dua jenis varian baharu telah dikesan. Varian virus dari United Kingdom dan Afrika Selatan adalah antara dua jenis varian baharu yang dikesan.

Varian virus dari Afrika Selatan dikatakan lebih berbahaya kerana ia lebih mudah menjangkiti dan juga lebih tahan terhadap vaksin.

Syarikat-syarikat pengeluar vaksin termasuk Pfizer kini sedang dalam fasa membangunkan vaksin baharu atau mengubah suai vaksin sedia ada agar ia mampu melindungi individu yang disuntik daripada jangkitan varian baharu.

Setakat ini, Pfizer mengumumkan bahawa mereka sedang dalam fasa percubaan suntikan booster bagi vaksin sedia ada.

Bagi individu yang telah menerima dua suntikan dos vaksin Pfizer sebelum ini, mereka akan ditawarkan dengan suntikan booster tambahan untuk membantu antibodi tubuh melawan jangkitan varian virus baharu. Suntikan booster tersebut akan ditawarkan kepada mereka yang telah menerima suntikan pertama dan kedua dalam fasa percubaan awal sahaja (kira-kira enam hingga 12 bulan yang lalu).

Perkembangan semasa bekalan vaksin di Malaysia

Setakat ini, Malaysia sedang berada dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Pada fasa pertama ini, vaksin akan diberikan kepada petugas barisan hadapan atau frontliners seperti petugas kesihatan, keselamatan serta pertahanan.

Malaysia telah menerima bekalan vaksin pertamanya iaitu vaksin Pfizer pada 21 Februari 2021. Penerimaan kumpulan pertama vaksin Pfizer ini melibatkan sejumlah 312,390 dos.

Selain itu, Malaysia juga telah menerima vaksin keluaran Sinovac Biotech dari China pada 27 Februari secara pukal dan akan dibotolkan di Malaysia dengan kos yang lebih murah. Vaksin Sinovac yang diterima itu berjumlah 200 liter dan akan diproses menjadi 300,000 dos untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Malaysia juga akan menerima bekalan vaksin daripada beberapa syarikat pengeluar lain iaitu AstraZeneca (UK), CanSinoBio (China), Sputnik V (Rusia) dan yang terbaharu, Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat.

Harus mengambil vaksin

Umat Islam dinasihatkan untuk mengambil vaksin COVID-19 bagi mengekang penularan wabak ini. Hukum pengambilan vaksin ini telah dinyatakan sebagai harus oleh badan-badan fatwa berautoriti di seluruh dunia.

Perlu difahami bahawa menjaga nyawa itu adalah antara perkara yang sangat dituntut dalam agama Islam.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.