Video Muzik ‘Meluruh’ Ketengah Kisah Cinta Tragis

Setelah mempertaruhkan single terbaharu yang menyentuh perasaan, ‘Meluruh’, pada bulan April lepas, Alyah kini kembali dengan video muzik rasmi bagi lagu tersebut.

Diarahkan oleh pengarah hebat, Ghaz Abu Bakar, video muzik yang menjalani penggambaran di Terengganu itu mengetengahkan elemen drama yang tragis.

Menampilkan Aprena Manrose, Mustaqim Mohamed dan Amerul Affendi sebagai pelakon utama, jalan cerita yang diilhamkan sendiri oleh Ghaz itu berkisarkan tentang seorang wanita yang membalas dendam kepada semua lelaki yang pernah memperkosanya.

Video muzik dengan pengakhiran yang tidak disangka-sangka itu turut menonjolkan unsur kebudayaan, iaitu aktiviti mencanting batik.

Dengan penghayatan nyanyian Alyah yang penuh perasaan, pastinya video muzik ‘Meluruh’ menjadi satu video muzik yang lain daripada lain serta mampu meninggalkan impak yang besar kepada penonton.

‘Meluruh’ merupakan kolaborasi antara Alyah, Helen Yap dan Slen yang serasi dan saling melengkapi untuk berkarya demi merealisasikan sebuah lagu balada yang dijangka menaikkan lagi nama Alyah di persada seni hiburan.

Video muzik rasmi ‘Meluruh’ kini boleh ditonton di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Foto: YouTube