Wabak seharusnya menimbulkan kesedaran kepada semua

Kesihatan Hanita Hassan
Hanita Hassan
Wabak seharusnya menimbulkan kesedaran kepada semua
Wabak seharusnya menimbulkan kesedaran kepada semua © Tiam Seong Yew | Dreamstime.com

Ramai dalam kalangan kita menganggap wabak pandemik COVID-19 ini adalah peringatan untuk memberi kesedaran kepada kita akan perkara-perkara yang sebelum ini tidak kita lakukan. Oleh itu, wabak seharusnya menimbulkan kesedaran kepada semua.

Sebelum wabak penyakit ini menular, kita mungkin terlalu banyak menghabiskan masa dengan menjalani kehidupan kita sendiri. Kita mungkin berasa tertekan dan tidak tenteram dengan perubahan drastik yang berlaku di sekeliling kita. Ia akan mendorong kita  berputus asa dan kemurungan.

Wabak seharusnya menimbulkan kesedaran kepada semua

Mungkin dalam hidup, kita tidak pernah mengalami peristiwa yang tragis. Mungkin kehidupan kita pada dasarnya berjalan lancar dan tidak menghadapi sebarang kesulitan. Meskipun kita tidak pernah mengalami  kesulitan seperti ini, tetapi  ramai  yang pernah mengalaminya.

Di seluruh dunia masih ramai yang perlu berjuang berdepan situasi tragis dan tidak terduga – mereka hidup di atas muka bumi ini sama seperti kita. Terdapat begitu banyak sekali peristiwa dalam sejarah dunia di mana kita dapat melihat pelbagai bentuk bencana dan tragedi yang telah berlaku.

Bahkan sehingga ke hari ini, begitu ramai yang berdepan dengan kesulitan melawan virus serta kehilangan orang tersayang. Ada juga yang menderita akibat penularan wabak ini dari segi ekonomi dan pekerjaan.

Kita perlu mencuba dan memupuk mentaliti global supaya menghargai orang  sekeliling dan di seluruh dunia. Bukan kita sahaja yang sedang berjuang, malah pasti  ada  yang berjuang lebih teruk daripada kita.

Bagi anda yang masih dapat menjalani kehidupan ‘normal’ sepanjang pandemik ini mungkin tidak membuka mata atau menyedari hakikat akan bencana dan tragedi yang perlu dihadapi oleh orang lain yang berada di setiap pelusok dunia.

Sekarang baharulah kita berasa bahawa hidup semakin sukar ekoran wabak, kita menyedari dan memahami bahawa sesungguhnya kesusahan dan kesulitan melampau sememangnya wujud. Kita menginsafi dan memahami bahawa hidup ini tidak selalunya mudah dan senang kerana ia telah ditentukan oleh Allah SWT sebagai ujian.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa dia antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Mulk, ayat 2)

Hanya Allah SWT berkuasa atas semua perkara, mengubah tiap keadaan

Kita hendaklah menginsafi diri sekiranya saat ini terasa kita perlu menempuh pelbagai kesulitan dalam kehidupan. Maka fikirkan semula tentang mereka yang perlu berjuang menempuh pelbagai rintangan kehidupan atau yang menghadapi lebih banyak halangan daripada kita.

Seseorang harus menunjukkan rasa ihsan dan tidak dilalaikan dengan kehidupan sendiri. Kita  bantu mereka yang memerlukan, jadi lebih pemurah serta mengambil berat keadaan orang lain.

Dalam kita bergelut dengan ketidaktentuan ini, kita jadi semakin hampir dengan Allah SWT kerana menginsafi bahawa tidak ada seorang mahkluk pun yang benar-benar dapat membantu.

Hanya Dia yang berkuasa penuh ke atas semua perkara, maka hanya Dia sahaja yang dapat mengubah setiap keadaan. Kita akan lebih terdorong untuk sentiasa berdoa kepada-Nya, dan tidak terlalu fokus pada kehidupan ini dan impian duniawi.

Apabila kita lebih fokus memperbaiki diri sebagai seorang yang beriman,  kita lebih peka tentang kehidupan, kematian serta kesakitan. Kita sedar dan faham bahawa hidup ini tidak akan kekal.  Justeru, kita akan mempersiap diri dengan memperbanyak amalan bagi bekalan akhirat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seseorang dari kalian mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia keluarkan dari laut?”

(Hadis riwayat Muslim, 2868)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.