Waktu ini dilarang untuk berziarah

Kepercayaan Md Wa'iz 05-Okt-2020
dreamstime_xs_169542598
Ziarah amat digalakkan tetapi elakkan tiga waktu ini © Tang90246 | Dreamstime.com

Amalan ziarah-menziarahi sememangnya sangat digalakkan dalam Islam. Antara tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk saling merapatkan hubungan sesama manusia. Islam juga menitik beratkan soal adab dalam berziarah. Namun, waktu bagaimana yang dibenarkan dan dilarang untuk berziarah?

Ada beberapa waktu yang dibenarkan untuk hadir berziarah, dan ada juga waktu yang amat dilarang. Selain daripada merapatkan hubungan antara sesama manusia, amalan berziarah juga dapat meningkatkan rasa kasih sayang sesama kita. Ziarah dapat menyuburkan rasa prihatin dan kebersamaan antara kedua belah pihak.

Ini bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

“Sesiapa yang hadir melawat orang yang sedang sakit atau menziarahi saudara-maranya kerana Allah, maka nanti dia akan diseru dengan kata-kata: engkau akan mendapat kebaikan, perjalanan engkau akan dimudahkan dan akan disediakan satu rumah untuk engkau di Syurga.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi, 2008)

Daripada maksud hadis ini, dapatlah difahami bahawa amalan berziarah ini bukan hanya mengeratkan silaturrahim, tetapi juga secara tidak langsung memberikan kita saham atau ganjaran di akhirat kelak.

Waktu dilarang berziarah

Namun, setiap apa yang kita lakukan pastilah mempunyai adab atau peraturan yang dipatuhi. Dalam soal berziarah, Islam menggariskan sedikit panduan yang perlu kita ikuti agar tidak menyusahkan tuan rumah kelak. Ada beberapa waktu atau tempoh masa di mana kita dilarang sama sekali untuk datang berziarah kecuali atas urusan yang benar-benar penting atau berbentuk kecemasan sahaja.

Waktu-waktu yang dilarang adalah seperti berikut:

  • Sebelum tiba waktu Subuh
  • Pada waktu tengah hari
  • Selepas solat isyak

Mengapa kita dilarang untuk hadir berziarah pada ketiga-tiga waktu ini? Ini kerana, pada kebanyakan masa ini, ia merupakan satu masa atau ruang untuk tuan rumah berehat.

Sebagai contoh, waktu selepas solat Isyak hingga sebelum Subuh merupakan waktu di mana kita semua tidur pada waktu malam. Waktu tengah hari juga merupakan waktu berehat daripada melakukan sesuatu pekerjaan yang sedang dilakukan.

Larangan dan waktu tidak dilarang

Namun, larangan ini tidaklah berbentuk kekal selamanya. Jika anda sememangnya dijemput oleh tuan rumah untuk hadir ke rumahnya pada waktu-waktu ini, anda boleh menghadirinya kerana ia atas keizinan dan jemputan tuan rumah itu sendiri. Begitu juga dengan majlis-majlis keramaian seperti undangan majlis perkahwinan atau rumah terbuka perayaan, larangan ini menjadi terbatal dengan sendirinya.

Antara tujuan larangan ini adalah untuk memastikan kita bersikap lebih prihatin dengan tuan rumah yang ingin kita kunjungi. Pada kebanyakan masa yang dilarang untuk berziarah ini, tuan rumah mungkin tidak begitu bersedia untuk menerima tetamu.

Oleh itu, carilah waktu lain yang lebih sesuai seperti pada waktu pagi atau selepas waktu Asar untuk hadir melawat. Ia lebih baik untuk kedua-dua belah pihak.