Walaupun gejalanya sama tetapi ini perbezaan selesema dan flu

Kesihatan Md Wa'iz
Md Wa'iz
Walaupun gejalanya sama tetapi ini perbezaan selesema dan flu
Walaupun gejalanya sama tetapi ini perbezaan selesema dan flu © Makidotvn | Dreamstime.com

Anda mungkin alami gejala yang sama seperti hidung berair. Namun, anda mungkin tidak mengetahui perbezaan selesema dan flu. Ini kerana, selesema dan flu mungkin menyebabkan gejala yang sama meskipun kedua-duanya adalah penyakit yang berbeza.

Ini perbezaannya.

Apakah perbezaan selesema dan flu?

Sebenarnya, kedua-duanya adalah penyakit yang berkaitan dengan sistem pernafasan manusia. Namun, perbezaan selesema (common cold) dan flu (influenza) yang paling utama ialah punca yang menyebabkannya. Untuk pengetahuan anda, selesema dan flu berpunca daripada dua jenis virus yang berbeza.

Tidak dinafikan bahawa agak sukar untuk membezakan kedua-dua penyakit ini kerana gejala yang ditunjukkan hampir sama. Namun, jika anda mengalami jangkitan flu, gejala yang ditunjukkan biasanya lebih teruk berbanding selesema.

Selesema hanya menyebabkan simptom ringan seperti hidung berair dan tersumbat. Namun, jangkitan flu boleh menyebabkan komplikasi lain yang lebih berbahaya seperti jangkitan paru-paru dan jangkitan bakteria.

Berikut adalah perbezaan selesema dan flu daripada segi gejala yang berlaku

Walaupun kebanyakan gejala yang disebabkan oleh selesema dan flu hampir serupa, namun masih ada beberapa perbezaan yang ketara.

Secara umumnya, jika anda mendapat jangkitan selesema, anda mungkin akan mengalami gejala seperti berikut:

  • Mengalami sakit tekak
  • Bersin
  • Batuk
  • Hidung berair
  • Hidung tersumbat
  • Sakit kepala atau sakit badan
  • Berasa letih

Namun, jika anda mengalami jangkitan flu pula, gejala yang boleh berlaku adalah seperti berikut:

  • Batuk yang bersifat kering
  • Mengalami demam
  • Sakit tekak
  • Sakit kepala
  • Hidung berair
  • Keletihan yang melampau
  • Berasa sejuk
  • Sakit badan atau otot

Apakah rawatan yang boleh diambil untuk merawat selesema dan flu?

Perlu diingat, bahawa kedua-dua penyakit ini adalah berpunca daripada jangkitan virus. Oleh itu, penggunaan antibiotik sememangnya tidak berkesan untuk merawatnya. Ini kerana antibiotik hanya digunakan untuk merawat jangkitan yang berpunca daripada bakteria.

Jika anda mengalami selesema, anda boleh mendapatkan ubat antihistamin di farmasi berdekatan. Untuk jangkitan flu pula, rawatan terbaik adalah dengan berehat dan meminum banyak air.

Jika badan anda mengalami lenguh-lenguh atau kesakitan, anda boleh mengambil ubat seperti ibuprofen untuk melegakan kesakitan yang dialami. Jika anda berjumpa dengan doktor, doktor mungkin akan memberikan beberapa jenis ubat seperti Tamiflu untuk merawat jangkitan flu.

Segera berjumpa dengan doktor sekiranya simptom semakin teruk

Jika anda mengalami gejala yang lebih teruk, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan lanjut. Ini untuk mengenal pasti apakah jangkitan yang menjangkiti tubuh anda dengan lebih tepat.

Sebarang pemeriksaan dan rawatan awal boleh menyelamatkan diri anda daripada mendapat komplikasi lain yang lebih buruk. Sekarang anda telah mengetahui perbezaan selesema dan flu dengan lebih jelas.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.