Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

‘Walk With Me’: Kisah Mangsa Buli Yang Menjadi Dendam

Seni Nor Syariza Tahir 02-Okt-2019
OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Roh yang menumpang dalam jasad anak patung dan menyebabkan berlakunya pelbagai tragedi menyeramkan serta mengerikan adalah jalan cerita yang sering diangkat dalam sesebuah naskhah filem seram.

Tidak terkecuali buat pengarah dari Malaysia, Ryon Lee yang mempertaruhkan filem seram dan thriller terbaharunya, Walk With Me.

Bezanya, formula jalan cerita tersebut diperkemaskan lagi dengan mengetengahkan isu kekejaman masyarakat sekeliling yang membuli dan mendiskriminasi seseorang sehingga seringkali mengakibatkan satu jiwa yang suci menjadi hitam dan penuh dengan rasa dendam.

Menampilkan pelakon Hong Kong seperti Michelle Wai, Alex Lam, Richard Ng, Anna Ng, pelakon Malaysia, Evan Chin dan pelakon yang bertapak di  Singapura, Qi YuWu, filem kantonis ini memaparkan bangunan Lee Rubber, yang terpilih sebagai satu daripada tiga rumah paling berhantu di Kuala Lumpur untuk menjadi lokasi utama filem Walk with Me.

Diarah dan ditulis oleh Ryon Lee, Walk with Me mengisahkan tentang seorang gadis yang kurang keyakinan diri bernama Sam (Michelle Wai), yang hidup dalam keluarga kurang kasih sayang dan dibuli di tempat kerja.

Satu-satunya sahabat yang menjadi punca keyakinan dirinya hanyalah patungnya yang bernama “Dao Dao” yang sering menjadi peneman setianya.

Setelah rakan serumahnya berpindah secara tiba-tiba kerana mendakwa diserang oleh roh, Sam mula merasakan bahawa patung itu membayanginya.

Malahan, reaksi aneh ibunya (Anna Ng) menguatkan lagi naluri Sam yang percaya bahawa patung “Dao Dao” dirasuk oleh roh adik lelakinya yang mati akibat keguguran.

Dalam diam, Sam membuat hajat menerusi “Dao Dao” dengan meminta pertolongan untuk membalas dendam terhadap beberapa individu yang membulinya.

Tanpa disangka, permintaannya menjadi nyata sehingga keadaan semakin tidak terkawal.

“Saksikan bagaimana kisah ini memberi cerminan mengenai kurangnya sifat kemanusiaan sehingga ia boleh menjadi lebih menakutkan daripada hantu,” ujar Ryan.

Jadi, apa kata anda pergi menonton filem yang tercalon dan menerima pengiktirafan serta perhatian di Busan International Film Festival, New York Asian Film Festival dan Asia Film Festival di Bolgona ini.

Diedarkan oleh mm2 Entertainment Malaysia, Walk With Me mula ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia bermula 3 Oktober 2019.

 

Foto: Click Entertainment