‘Wangi’ Merungkai Misteri Kehilangan Seorang Wanita

Filem : Wangi

Klasifikasi: P13

Tarikh Tayangan: 5 September 2019

Genre: Seram / Psiko Thriller

Dibintangi oleh : Erra Fazira, Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad, Mia Nasir, Syazwan Zulkifly, Nik Adam Mika, Ruminah Sidek

Ulasan :

Wangi – Misteri Di Sebalik Kehilangan Bella. Filem terbitan Resilience Studio ini diarahkan oleh Mohd Latiff Zami mengangkat tema misteri, seram dan psiko thriller bagi menarik minat peminat filem Melayu tempatan ke pawagam

Selain itu, produksi ini juga menjual nama-nama besar dalam indusri untuk mengumpan jualan tiket memberangsangkan. Melihat kepada tajuk filem ini, tidak dinafikan agak sukar membuat jangkaan atau tafsiran. Wangi bukan perkataan yang mewakili suasana seram atau misteri. Malah ‘Wangi’ juga bukan mewakili nama watak dalam filem ini.

Jadi mengapa filem ini diberi tajuk ‘Wangi’? Menurut pengarah, ‘Wangi’ dipilih sebagai tajuk kerana kisahnya bersangkutan dengan individu yang gemarkan minyak wangi. Selain itu, dia juga membawa maksud tersirat. Kehidupan yang nampak bahagia pada zahirnya, tetapi ia tidaklah sewangi yang dijangkakan. Sebaliknya ia mempunyai rahsia hitam.

Secara jujurnya, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk filem ini. Paling utama ialah garis masa yang tidak jelas atau mengelirukan. Untuk makluman, filem ini banyak babak-babak flashback bagi menceritakan tentang keakraban keempat-empat watak utama.

Namun kehadiran babak-babak ini mengundang lebih banyak  persoalan di kalangan penonton. Adakah Nor (Erra Fazira) dan Khuzairy (Sharnaaz Ahmad) sudah berkahwin? Jika sudah berkahwin, di mana anak pertama mereka,  Khiri dan siapa yang menjaganya? Adakah mereka pergi belajar atau bekerja?

Perkembangan watak Khuzairi yang dilakon oleh Sharnaaz Ahmad juga mengelirukan. Mengapa dia berkelakuan demikian?  Apa insiden yang mencetus kepada perlakuannya itu?

Menurut pengarah, perkara itu berlaku kerana terdapat babak-babak yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem dan ia terpaksa dipotong.  Tetapi ini bukanlah alasan yang sepatutnya diberikan. Pengarah seharus bijak membuat garapan bagi memastikan penonton faham dan jelas dengan jalan cerita.

Di sebalik kekurangan, pujian harus diberikan kepada semua pelakon yang terlibat. Mereka berjaya menggalas watak masing-masing dengan baik dan meyakinkan biarpun Sharnaaz ada meluahkan yang dia tidak berpuas hati dengan lakonannya sendiri.

Kalau menonton filem seram, pasti anda mahukan suasana atau mood menyeramkan dan mendebarkan bukan? Jangan risau, semua ini anda boleh dapat ketika menonton ‘Wangi.’ Kalau tak cukup berani, boleh pakai penutup telinga untuk mengelak daripada mendengar bunyi-bunyian yang menyeramkan.

Filem arahan Mohd Latiff Zami ini menceritakan tentang Nor (Erra Fazira) yang baru pulang ke rumah setelah melahirkan cahaya mata kedua. Dia dan suaminya, Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) memiliki seorang anak lelaki istimewa berusia tujuh tahun. Sepanjang dalam tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya.

Setelah ibunya pulang ke kampung, Nor mula tertanya-tanya ke mana adik angkatnya, Bella (Nabila Huda) menghilang. Sedangkan Bella tinggal di rumahnya sebelum dia melahirkan anak.  Khuzairi memberitahu bahawa Bella telah pulang ke Amsterdam dengan alasan mahu berkahwin dengan kekasihnya Azlan (Syazwan Zulkifli).

Bagaimanapun, Nor berasa pelik memandangkan Bella tak pernah bercerita tentang perkahwinan dan bermulalah misteri tentang kehilangan Bella serta kejadian-kejadian pelik yang berlaku ke atas dia dan keluarganya.

Untuk mengetahui kesudahan filem ini, jangan lupa saksikannya di pawagam di seluruh negara.

Kredit foto : Resilience Studio Sdn Bhd