Wanita dan bau-bauan

Sahsiah Hanita Hassan 24-Jun-2020
Ada apa dengan bau-bauan? © Sarayuth Punnasuriyaporn | Dreamstime.com

Bau badan yang tidak menyenangkan atau nama saintifiknya Bromhidrosis adalah masalah biasa yang dialami bukan sahaja oleh kaum wanita tetapi juga oleh kaum lelaki.  Ia disifatkan sebagai penyakit kronik yang perlu diubati.  Sekiranya dibiarkan, kita akan berterusan berasa tidak selesa, malah kurang yakin setiap kali berhadapan dengan orang sekeliling.

Dalam zaman serba moden ini, masyarakat sering menilai seseorang berdasarkan rupa bentuk luarannya.  Begitu juga dengan bau-bauan yang digunakan kerana ia boleh mengganggu kepekaan deria hidung sekali gus memberi isyarat sama ada kehadiran kita dapat diterima atau sebaliknya.

Islam mengharuskan wanita memakai wangi-wangian terutama untuk menghilangkan bau busuk pada badan.  Bau busuk pada badan boleh menyukarkan wanita khususnya ketika bermesra dengan suami dan berhadapan dengan masyarakat.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang maksudnya:  “Sesungguhnya wangian yang baik bagi lelaki adalah yang terzahir baunya dan tidak jelas warnanya dan wangian yang baik bagi wanita adalah yang terzahir warnanya dan tidak begitu kuat baunya.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi (2788), dinilai sahih oleh al-Albani)

Di sini, kemungkinan maksud hadis berkaitan wangian wanita itu adalah wangian ketika keluarnya mereka dari rumah iaitu wangian yang jelas warnanya seperti za`faran dan baunya tidak pula kuat dan jelas. Adapun apabila bersama suaminya (tidak dikhalayak) maka berwangi-wangianlah dengan apa yang disukai olehnya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya, sentiasa menyenangkan hati kamu.”  (HR an-Nasa’i)

Sesungguhnya seorang wanita hendaklah mengelak daripada menggunakan wangian yang kuat  sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajanib (ajnabi) sehingga menimbulkan fitnah. Ia juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Seperti mana yang terdapat di dalam hadis-hadis yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina.

Daripada Abu Musa al-Asy`ari r.a bahawa Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya: “Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.”  (HR Abu Daud (4173) & an-Nasa’i (5126), dinilai sebagai hasan)

Al-Imam al-Munawi rahimahullah menyebut bahawa yang dimaksud dengan hadis di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib (mereka yang asing/bukan kerabat dan halal dinikahi) dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. (Lihat Faydh al-Qadir, Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147)

Beliau juga menyebut: “Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka ia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang ke arahnya, maka setiap yang memandang ke arahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan ke arahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Maka, ia adalah sebab berlakunya zina mata dan ia termasuk penzina.” (Lihat Faydh al-Qadir, Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27)

Justeru, gunakanlah deodoran, sabun, bedak dan wangian yang tidak kuat baunya dengan niat untuk menghilangkan bau badan semasa berada di khalayak masyarakat kecuali apabila bersama suami.

Setiap kali selepas mandi, kita sembur dahulu wangian di badan, bukan di pakaian atau tudung. Wangian yang kita pakai itu akan menjadi samar-samar dan tidak jelas setelah ditutup dengan baju dan tudung. Atau pakai sahaja wangian secara ala kadar, seminimum yang mungkin. Semoga bermanfaat.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!