Wanita solehah – pakaian dan perhiasan dalam al-Quran

Wanita 03 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Wanita solehah - pakaian dan perhiasan dalam al-Quran
Wanita solehah - pakaian dan perhiasan dalam al-Quran © Szefei | Dreamstime.com

‘Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah, yang akan membahagiakan syurga di dalam rumah tangga’.

Begitulah bait-bait lirik nasyid dari kumpulan Inteam yang menyeru sekaligus mempalitkan nasihat dan dakwah mengenai sebaik-baik hiasan di dunia adalah wanita solehah.

Wanita solehah – pakaian dan perhiasan dalam al-Quran

“Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan (kehormatan) mereka; dan janganlah menampakkan perhiasannyanya (aurat) kecuali yang biasa terlihat.

 

Hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dada, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami (mertua) mereka atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami (anak-anak tiri) mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba-sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.

 

Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang tersembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.”

(Surah an-Nur, ayat 31)

 

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka (menutupkan jilbabnya) melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Yang demikian itu agar mereka lebih untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

(Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menutup aurat dan membezakan perempuan jahiliyah

Dari Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya agar menyuruh kepada isteri-isteri, anak-anak perempuan baginda dan umumnya perempuan-perempuan beriman agar mereka menutup aurat ke seluruh tubuh. Sehingga dapat dibezakan dengan perempuan-perempuan jahiliyah dan hamba-hamba perempuan.

Ini kerana, dahulu kebiasaan orang-orang fasiq di kota Madinah suka keluar pada waktu malam ketika hari mulai gelap, menuju ke jalan-jalan kota Madinah, dengan niat melihat-lihat perempuan.

Kerana ketika waktu malam tiba, kebiasaan perempuan-perempuan itu keluar menuju ke jalan-jalan untuk melepaskan hajat (buang air). Para lelaki fasik itu mempunyai keinginan buruk kepada pada perempuan.

Apabila mereka melihat perempuan berjilbab maka mereka berkata, “Ini perempuan terhormat, tahanlah diri kamu”. Tetapi apabila mereka melihat perempuan tidak berjilbab, maka mereka berkata, “Ini hamba perempuan”. Maka mereka segera menghampirinya.

Mujahid mengatakan, perempuan-perempuan berjilbab dapat dipastikan bahawa mereka adalah perempuan terhormat, sehingga lelaki yang fasik (jahat) tidak akan berani untuk mengganggunya dan berkelakuan mencurigakan terhadapnya.

(Ibnu Kathir, Tafsirul Quran ‘Azimi, Jilid 11 1421 H/2000 M: 242-243)

Daripada Aisyah r.a dia berkata, bahawa Asma binti Abu Bakar r.a masuk menemui Rasulullah SAW dengan memakai kain yang jarang. Maka Rasulullah SAW memalingkan muka daripadanya. Baginda bersabda:

“Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita jika telah baligh tidak boleh terlihat darinya kecuali ini dan ini. Baginda menunjuk wajah dan kedua telapak tangannya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Juz 4, Hadis 4104, 1418 H/1997 M:23)