Wanita solehah, pakaian dan perhiasan dalam tradisi Islam

Wanita Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Wanita solehah, pakaian dan perhiasan dalam tradisi Islam
Wanita solehah, pakaian dan perhiasan dalam tradisi Islam © Chernetskaya | Dreamstime.com

Sebagai seorang wanita, kelihatan cantik dan menarik pastinya suatu keharusan. Untuk itu, kita biasanya berpakaian dan berhias seadanya sehingga orang lain boleh menghargai kecantikan kita.

Menggunakan alat solek, memakai perhiasan atau aksesori yang cantik dan memakai fesyen pakaian terkini adalah beberapa cara untuk kita kelihatan menarik. Namun, pernahkah anda mendengar larangan Tabarruj dalam berhias?

Wanita solehah, pakaian dan perhiasan dalam tradisi Islam

Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:

“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

(Hadis riwayat Abu Daud, 1664)

Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

(Hadis riwayat Muslim, 715)

Syaikh bin Baz berkata, “Wanita solehah adalah wanita yang menegakkan perintah Allah, wanita yang menjaga solat tepat pada waktunya, wanita yang dikenal dengan baiknya adab dan perilakunya serta jauh dari tabarruj (berhias) ketika menuju ke pasar-pasar.”

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan sebagai perhiasan bagimu. Tetapi pakaian taqwa, itulah sebaik-baik pakaian. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka beringat.”

(Surah al-A’raf, ayat 26)

Dari ayat ini jelas Allah Taala mengingatkan kepada kita bahawa sebaik-baik perhiasan atau sebaik-baik pakaian adalah pakaian taqwa.

Allah SWT telah berfirman dalam kitabNya mengenai adab dan syariat berpakaian dalam Islam. Islam sangat mengangkat darjat seorang wanita Islam dan sangat menitikberatkan ketinggian akhlak seseorang wanita itu dengan menjaga auratnya.

Tabarruj (menampakkan kecantikan dan perhiasan)

“Dan para perempuan tua yang telah berhenti daripada haid dan mengandung, yang tidak ingin berkahwin lagi maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bermaksud menampakkan (aurat) tetapi memelihara kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu) adalah lebih baik bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah an-Nur, ayat 60)

 

“Tidak ada dosa ke atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara perempuan mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, perempuan-perempuan mereka (yang beriman), serta hamba sahaya yang mereka miliki, dan bertaqwalah kamu (isteri-isteri Nabi) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.”

(Surah al-Ahzab, ayat 55)

Wahai wanita, tutuplah auratmu dengan pakaian taqwa kerana dirimu begitu berharga sehinggakan Allah SWT perintahkan untuk menutupi keindahan diri dari sebarang pandangan.

Bersederhanalah dalam memilih pakaian. Rasa malu sebagai perhiasan, menjaga pandangan, menjaga lisan dan menjaga kehormatan diri. Rasa takut berbuat dosa, menangis kerana Allah Taala dan selalu panjatkan kesyukuran kepada- Nya kerana wanita solehah adalah penghuni yang akan menjadi dambaan syurga.