Wanita-Wanita Luar Biasa: Bunga, Nor ‘Phoenix’ Diana & Nurul Shamsul

Buat pertama kali SalamToday menggabungkan tiga wanita luar biasa sebagai Wajah Salam untuk edisi minggu ini.

Tiga dewi yang punya latar belakang berbeza namun kisah mereka sudah melebar ke serata dunia. Mereka adalah tiga hijabi yang telah mendapat perhatian masyarakat dunia kerana kisah hebat mereka.

Nurul Shamsul, gadis ayu yang dilahirkan di Kuala Lumpur, namun telah menetap di New Zealand sejak berusia lima tahun. Tahun lalu beliau menjadi tular di media sosial selepas terpilih menjadi salah seorang finalis pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand dan berjaya menjadi Top 5.

Nor ‘Phoenix’ Diana, gadis berusia 20 tahun ini telah menjadi satu-satunya ahli gusti di dunia yang berhijab lantas menjadi tajuk berita di kebanyakan halaman berita atas talian di seluruh dunia. Manis bertudung dan bertubuh genit, pada mulanya beliau memakai topeng di gelanggang sehinggalah satu hari beliau mendapat kekuatan untuk mendedahkan identiti dirinya.

Bunga, penggiat muzik baharu dengan imej berkaca mata ini telah buktikan wanita berhijab bukan penghalang untuk menyanyikan lagu rap dengan baik sehingga kisah beliau mendapat perhatian akhbar terkenal The New York Times.

SalamToday berjaya mengumpul ketiga-tiga wanita luar biasa, muda dan berwawasan ini dalam satu sesi penggambaran istimewa dan menyelami kisah mereka dengan lebih mendalam.

 

 

Bunga, Mekar Mewangi

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Siapa sangka, dengan imej berbaju kurung dan berhijab, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari atau dikenali sebagai Bunga membuka mata banyak pihak apabila dia mula berlagu menyampaikan bait-bait lagu rap.

Namanya bukan sahaja mewangi di persada muzik tempatan, malah harumannya sampai ke luar negara apabila kisahnya muncul dalam artikel The New York Times. Tidak cukup dengan itu, Bloomberg turut memuat naik video berdurasi seminit 10 saat mengenai Bunga.

Dalam manis pasti ada pahitnya, biarpun Bunga sudah mampu tersenyum dengan pencapaian, namun dia juga perlu berdepan dengan mereka yang menuduh dia ‘menodai’ imej wanita Muslimah.

“Bunga tahu ada yang mengecam atau mengkritik penampilan Bunga yang berbaju kurung dan bertudung dengan membawa genre rap, namun Bunga tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai halangan untuk terus berkarya.

Apa salahnya berbaju kurung? Bukannya Bunga buat sesuatu yang tidak baik. Bunga tahu yang mana betul, mana yang salah. Bagi Bunga, kita tidak mungkin mampu untuk memuaskan hati semua orang. Pasti ada yang suka dan ada yang tidak suka. Bagi Bunga, imej berhijab dan berbaju kurung adalah identiti unik yang Bunga ingin tonjolkan. Bunga mahukan kelainan. Lagipun Bunga seorang yang sukakan elemen tradisional. Bukan sahaja untuk penampilan, tetapi juga untuk lagu,” ujar Bunga yang menegaskan dia tetap akan menutup aurat ketika melakukan persembahan.

Dalam masa yang sama, Bunga juga menyangkal pendapat yang mengganggap lagu-lagu rap bersifat negatif, ganas dan tidak bermoral. Jelas Bunga, pendapat itu tidak benar sama sekali.

“Kalau ada yang menganggap lagu-lagu rap mesti kena ganas, cakap benda-benda lucah, itu semuanya tidak betul. Kita boleh tentukan sendiri lirik kita seperti apa yang kita mahu persembahkan. Kalau mahu menonjolkan sisi-sisi sopan, kita buat lagu rap yang sopan. Kita yang tentukan pendirian lagu rap itu,” ujar Bunga positif.

 

Hanya ingin mencuba

Mengimbas tentang penglibatannya dalam dunia rap, Bunga memberitahu semuanya berlaku tanpa diduga. Niatnya yang sekadar ingin mencuba nasib akhirnya membuahkan hasil.

“Sebelum rapping, Bunga sebenarnya bermula dengan menulis puisi pada usia 18 tahun. Ketika itu Bunga memang tidak tahu apa-apa tentang lirik rap. Pada penghujung 2018, Bunga cuba nasib masuk pertandingan ‘U Try Rap Please’ atas galakan rakan-rakan.

Untuk sertai pertandingan ini, mereka yang berminat perlu memuat naik ‘rapping video’ berdurasi seminit terlebih dahulu dan Bunga akhir terpilih untuk buat persembahan secara live. Biarpun terkelu di pusingan battle, Bunga diberi peluang untuk mempersembahkan lagu sendiri. Mujur persembahan itu berjaya dan bermula dari saat itu, ramai yang sudi memberi tunjuk-ajar. Ada yang menjadi mentor Bunga sehingga kini dan sejujurnya Bunga masih dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang rapper yang baik,” ulas Bunga.

Memandangkan Bunga kini masih bergelar seorang pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3 dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam, timbul persoalan adakah keluarganya merestui penglibatannya dalam dunia hiburan?

“Memang pada mulanya keluarga tidak begitu merestui penglibatan Bunga dalam dunia nyanyian. Ini kerana mereka mahu Bunga fokus dalam pelajaran dan tidak mahu Bunga gagal. Namun setelah mereka lihat kesungguhan Bunga, mereka mula dapat menerima. Lebih-lebih lagi selepas Bunga berjaya buktikan, kerjaya nyanyian ini boleh menjadi salah satu punca rezeki untuk Bunga membiayai pengajian dan mendapat duit poket,” ujar Bunga.

 

Bersama Warner Music Malaysia

Mengikat kontrak bersama Warner Music Malaysia selama dua tahun, kini rapper berusia 19 tahun ini telah muncul pula dengan single debutnya berjudul namanya sendiri ‘BUNGA’.

‘BUNGA’ merupakan karya ciptaan Bunga sendiri bersama ikon yang cukup dikenali dalam arena Hip Hop tempatan iaitu Tripdisz dan Lady D. Manakala lirik pula ditulis oleh Bunga sendiri bersama Lady D. Lagu Hip Hop yang turut diberi sentuhan elemen elektropop ini dijangka mampu menambat hati peminat muzik dengan melodinya yang ‘catchy’ dan lirik yang santai.

Mengulas tentang singlenya itu, Bunga memberitahu dia berharap agar lagu pengenalannya ini bukan saja mendapat reaksi positif peminat hip hop tetapi diterima baik oleh peminat muzik arus perdana.

“Saya harap single ‘BUNGA’ ini akan mendapat sambutan yang baik. Saya yakin muzik dan baik-baik lirik yang dipersembahkan boleh mencuri perhatian mereka yang mendengar. Label saya telah memberikan yang terbaik. Secara keseluruhannya, saya suka dengan konsep yang ditampilkan dalam lagu dan juga video muzik ‘BUNGA’, ujar Bunga mengakhiri perbualan.

Single ‘BUNGA’ terbitan dan edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music.

 

 

Nor ‘Phoenix’ Diana: Ahli Gusti Wanita Berhijab Pertama di Dunia

Jika dilihat dari luaran, Nor Diana Khamarulzaman sama seperti kebanyakan gadis Melayu yang lain.

Pemalu, canggung, polos, bertudung, tidak banyak bercakap dan penuh dengan kesantunan.

Dengan ketinggian 155 sentimeter dan seberat 45 kilogram (kg), pasti ramai yang sukar untuk mempercayai bahawa gadis bersosok genit ini sebenarnya merupakan seorang ahli gusti profesional.

Tidak cukup dengan itu, dia yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu ternyata telah mencipta sejarah dan menggemparkan dunia sukan gusti profesional baru-baru ini apabila mengalahkan empat orang ahli gusti lelaki dalam kejohanan Malaysia Pro Wrestling (MyPW) Wrestlecon di MyPW Fightback.

Baru berumur 20 tahun, dia yang lebih dikenali sebagai Nor ‘Phoenix’ Diana ini kini dikenali di seantero dunia sebagai ahli gusti wanita berhijab pertama di dunia.

Seakan-akan sukar untuk dipercayai bagaimana dia boleh mengalahkan empat orang ahli gusti lelaki dengan kudrat seorang wanita, penulis menemubual Nor Diana sendiri bagi mengetahui cerita lanjut mengenai kisah luar biasanya itu.

“Apabila saya berada di dalam kandang perlawanan, saya berubah menjadi individu yang berbeza. Daripada seorang gadis pemalu, saya berubah menjadi bagaikan seekor burung phoenix yang berani dan agresif,” tuturnya memulakan bicara.

Tambah Nor Diana, ketika waktu perlawanan, fikirannya fokus untuk menang dan berlawan berhabis-habisan serta tidak memikirkan langsung perihal pihak lawan yang bertubuh lebih besar atau lebih kuat.

“Sakit itu sudah menjadi lumrah. Dalam sesi latihan pun saya dah terbiasa dengan kesakitan. Ia bagaikan satu kesakitan yang menyeronokkan dan memuaskan hati!

“Apatah lagi apabila mendengar sorakan penonton. Ia membuatkan semangat saya semakin membara untuk memenangi tiap perlawanan dan tidak putus asa walau teruk ‘dibelasah’,” ujarnya yang mula berlatih untuk menjadi ahli gusti profesional ketika berusia 16 tahun.

Ditanya bagaimana reaksi ibu dan bapanya ketika dia mula berkecimpung dalam sukan ganas yang dipelopori oleh kaum lelaki ini, Nor Diana berkata, pada awalnya, ayah dan ibunya agak keberatan untuk memberikan kebenaran.

“Namun, apabila ayah dan ibu saya melihat sendiri bagaimana saya berlawan dan turut hadir ke sesi latihan, mereka mula memahami sukan tersebut dan memberi sokongan untuk saya meneruskan minat saya itu,” jelasnya yang berada di bawah latihan Malaysia Pro Wrestling (MyPW).

Menerima tali pinggang Wrestlecon Championship dan mendapat title ahli gusti wanita berhijab pertama di dunia, Nor Diana mengakui bahawa bukan mudah untuk dia mempertahankan gelaran itu.

Ini kerana sebagai seorang wanita bertudung, ada cakap-cakap kurang enak yang mempertikaikan imejnya sebagai wanita Islam bertudung yang bergusti dengan ahli gusti lelaki.

Apabila ditanya penerimaannya terhadap reaksi sesetengah masyarakat yang memandang serong ke atas imej tersebut, gadis ini lebih gemar mengambil sikap untuk enggan mengendahkan perkara-perkara yang negatif.

“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan oleh orang ramai terutamanya para penyokong Nor Phoenix Diana. Namun, bagi yang tidak menyokong dan memberikan reaksi yang negatif, saya enggan terlalu memikirkan perkara tersebut.

“Apa yang lebih penting adalah mengambil kata-kata semangat atau kritikan membina yang mampu memperbaiki diri saya untuk menjadi seorang ahli gusti profesional yang lebih baik,” jelasnya.

Ditanya mengenai bagaimana dirinya boleh mula melibatkan diri ke kancah sukan yang ganas itu, cerita Nor Diana, ketika berumur 14 tahun, dia minat bermain permainan video bersama adiknya dan sering menonton perlawanan gusti di kaca televisyen.

“Ketika berumur 16 tahun, saya mula menyedari yang saya amat minat dalam sukan gusti dan mula membuat pencarian di internet mengenai pusat latihan gusti.

“Selepas menghubungi jurulatih saya, Coach Ayez, saya pun pergi menyaksikan perlawanan di MyPW, dan apabila melihat terdapat ahli gusti wanita yang lain, barulah saya berkeyakinan untuk menjadi sebahagian daripada mereka,” ujar anak keempat daripada lima adik beradik ini.

Bagaimanapun menurutnya, selepas latihan pertamanya, dia bagaikan mahu putus asa kerana ia terlalu susah buatnya serta ditambah lagi dengan latihan yang perlu dilakukan dengan ahli gusti lelaki.

“Namun, selepas pulang ke rumah, saya berfikir panjang dan akhirnya saya tidak mengalah serta tetap meneruskan latihan saban hari,” cerita gadis yang bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital swasta ini.

Ketika diminta menitipkan sedikit kata-kata semangat dan nasihat buat para pembaca di luar sana khususnya golongan wanita, Nor Diana berkata; “percaya kepada impian sendiri dan jangan mengambil pusing cakap-cakap yang negatif.

“Jika kita mempunyai impian, kejarlah ia. Jika kita asyik mendengar kata-kata negatif orang, kita sendiri takkan tahu sejauh mana kebolehan kita itu.

“Cuba dahulu, baru tahu,” kata gadis yang kini memasang impian untuk berlawan di Jepun dan Eropah ini menutup bicara.

“Oh ya! Saya juga bercita-cita untuk menaikkan berat badan sebanyak 10kg lagi!” tuturnya sambil tertawa.

 

 

Nurul Shamsul, Pecah Tradisi Pertandingan Ratu Cantik

Siapa yang menyangka seorang gadis beragama Islam dan berhijab mampu menjadi finalis untuk sebuah pertandingan ratu cantik di negara yang majoritinya bukan penduduk beragama Islam.

Namun Nurul Shamsul, 20, telah memecah tradisi dan menjadi peserta pertama yang berhijab menyertai pertandingan ratu cantik Miss Universe New Zealand pada tahun 2018.

Lebih membanggakan, Nurul berjaya meraih tempat lima teratas dalam pertandingan itu. Namun menjadi seorang ratu cantik bukanlah impiannya kerana sifatnya sama sekali kontra dengan perawakan seorang ratu cantik.

“Saya sekadar suka-suka memohon penyertaan untuk menyertai pertandingan Miss Universe New Zealand menerusi atas talian. Selepas memohon saya pun sudah lupa tentang pertandingan itu. Tetapi selepas beberapa bulan saya dapat panggilan bahawa saya telah terpilih sebagai salah seorang semi finalis. Saya benar-benar terkejut dan berfikir macam mana saya boleh terpilih di kalangan lebih 200 orang yang memohon.”

Ditanya apakah yang mendorong Nurul untuk menyertai pertandingan ini, katanya beliau sekadar ingin tahu apa yang akan terjadi sekiranya beliau menyertai pertandingan ratu cantik.

“Saya seorang yang optimistik. Ketika itu saya fikir apa yang akan berlaku sekiranya saya menyertai Miss Universe New Zealand. Sewaktu memohon saya tidak memberitahu sesiapa termasuklah ahli keluarga.

Ketika mahu memberitahu ayah saya, pada mulanya dia fikir saya ingin memberitahunya bahawa saya ingin berkahwin. Selepas memberitahunya perkara sebenar, perkara pertama yang dia kepada saya adakah saya akan memakai bikini?

Saya telah berbincang terlebih dahulu dengan penganjur Miss Universe New Zealand tentang perihal pakaian renang. Namun kata mereka, sesi pakaian renang sudah lama mereka batalkan sejak dari tahun 2006 lagi.”

Cerita Nurul lagi, sepanjang beliau berada di dalam pertandingan itu, pihak penganjur melayannya dengan begitu baik sekali. Malah mereka juga menyediakan makanan halal untuknya serta memberikan pakaian yang sopan dan sesuai dengan imejnya sewaktu sesi fotografi.

Biarpun penampilannya berbeza dengan peserta-peserta yang lain, tetapi Nurul tidak sedikit pun berasa terasing kerana peserta-peserta yang lain turut melayannya dengan baik.

“Alhamdulillah saya mendapat layanan yang sangat baik. Kami saling menyokong satu sama lain. Ia tidak terasa seperti kami bertanding di antara satu sama lain.

Tambah Nurul lagi, mahkota Miss Universe New Zealand bukanlah menjadi sasaran utamanya kerana menyedari beliau menyertai pertandingan ini tanpa sebarang pengalaman.

“Sewaktu menghantar permohonan untuk menyertai pertandingan ini, saya tidak terfikir saya akan terpilih menjadi finalis pun. Untuk memenangi mahkota itu jauh sama sekali. Kebanyakan finalis yang bertanding rata-rata sudah mempunyai pengalaman dalam pertandingan ratu cantik dan ‘modelling’ dan saya tiada langsung pengalaman”.

Biarpun mendapat sokongan dan pujian dari orang ramai, namun tidak kurang ada yang melemparkan komen-komen negatif kepadanya. Namun itu tidak sedikit pun menjadi kudis di hatinya.

“Sudah tentu akan ada komen-komen yang negatif. Malah ada juga yang berkata “oh dia tidaklah cantik sangat, biasa sahaja untuk menyertai pertandingan ratu cantik.” Tetapi saya selalu ingatkan diri saya, setiap perkara negatif yang orang cakap tentang saya sebenarnya adalah refleksi diri mereka yang sebenar.

Sewaktu itu saya turut berdoa dan memohon kepada Allah, jika saya ditakdirkan untuk menyertai pertandingan ratu cantik ini, maka jadikanlah perjalanan ini mudah bagiku. Hindarilah aku dari segala perkara negatif.

Alhamdulillah saya mendapat sokongan padu dari ahli keluarga, sahabat handai serta rakyat Malaysia dan Indonesia.

Ditanya adakah Nurul mempunyai perancangan untuk menyertai pertandingan ratu cantik yang lain pula, katanya penyertaan di Miss Universe New Zealand adalah yang pertama dan yang terakhir.

“Selepas tamat Miss Universe New Zealand, saya kembali menyambung pelajaran saya dalam bidang psikologi memandangkan ketika itu saya sedang menuntut di tahun terakhir. Selepas graduasi saya berkerja selama enam bulan so sebuah organisasi sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia untuk bercuti selama beberapa bulan.

Saya juga sangat meminati kerja-kerja membantu ahli komuniti dalam mencapai matlamat hidup mereka. Itulah yang saya lakukan di New Zealand sebelum saya pulang ke Malaysia, kata Nurul yang turut mengidolakan Perdana Menteri New Zealand iaitu Jacinda Ardem. ”

Nurul yang baru sahaja kehilangan datuk yang tersayang turut mendedikasikan kejayaannya kepada Allahyarham datuk kesayangannya itu kerana arwah dan neneknya banyak berkorban untuk berhijrah ke Malaysia dari Indonesia. Ibu Nurul berasal dari Indonesia dan berkahwin dengan ayahnya yang merupakan rakyat Malaysia.

Tambah Nurul lagi, tanpa pengorbanan arwah datuknya yang berhijrah untuk memberikan mereka kehidupan yang lebih baik, tidak mungkin Nurul akan berada di mana dia berada sekarang.

 

 

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Bunga, Nor ‘Phoenix’ Diana, Nurul Shamsul
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Rahayu Mat Nah (Bunga), Nor Syariza Tahir (Nor ‘Phoenix’ Diana), Helmi Anuar (Nurul Shamsul)
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Zura Ahmad & Nurul Syafinaz Azaha
  • Penata Gaya Hijab: Nurul Syafinaz Azaha
  • Jurusolek : Jibs Salim (Nurul Shamsul), Saidatulnisa Aminuddin (Nor ‘Phoenix’ Diana), Fazz Ariffin (Bunga)
  • Busana & Hijab :
  • Bunga
  • 1. Skarf geometrik, Ameera Zaini
  • 2. Blaus dan celana, Nurita Harith di Zalora
  • Nor ‘Phoenix’ Diana
  • 1. Tudung sifon, Ameera Zaini
  • 2. Dress biru teal, Mango di Zalora
  • Nurul Shamsul
  • 1. Tudung biru turqoise, Ameera Zaini
  • 2. Dress putih bercetak, Ezzati Amira di Zalora
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam