Wany Hasrita & Amira Othman Dijemput Tunaikan Haji Oleh Kerajaan Arab Saudi

Penyanyi popular Wany Hasrita dan juga Amira Othman telah dijemput menjadi tetamu Allah apabila terpilih untuk mengerjakan ibadah haji oleh kerajaan Arab Saudi.

“Rasa macam bermimpi pun ada kerana Wany tidak pernah terfikir untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Apapun, Wany bersyukur kerana Allah memberikan peluang kepada Wany menjadi tetamuNya, walaupun tawaran datang pada saat akhir.

“Pemergian kami berdua adalah atas undangan kerajaan Arab Saudi. Memandangkan Wany akan berangkat esok, segala persiapan perlu dibuat hari ini, antaranya mendapatkan suntikan vaksin dan juga menyediakan pelbagai kelengkapan lain,” katanya kepada BH Online.

Ini adalah kali pertama penyanyi yang popular dengan lagu ‘Terlalu Memuja’ itu untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Sebelum ini Wany belum pernah ke sana kerana tidak pernah mengerjakan ibadah umrah.

 

Disebabkan rezeki ini datang sepantas kilat, maka persiapan untuk mengerjakan ibadah haji juga tersangat singkat buatnya. Lantas Wany meminta bantuan rakannya iaitu Heliza Helmi untuk mencarikan ustaz yang mampu memberikan sesi panduan haji secara peribadi selain mendapatkan rujukan daripada pakar motivasi terkenal iaitu Profesor Dr Muhaya Mohamad.

SalamToday turut tumpang gembira dengan rezeki yang diterima oleh Wany Hasrita dan rakannya Amira Othman. Anda sememangnya insan yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Semoga perjalanan ibadah kalian dirahmati serta dipelihara Allah SWT dan dikurniakan ibadah haji yang mabrur.

Wany akan berangkat menunaikan haji ke Tanah Suci pada 7 Ogos dan dijangka pulang ke tanah air pada 16 Ogos ini.

 

Sumber : BH Online 

Foto : Instagram Amira Othman