Warga emas paling berisiko, kadar tertinggi insiden COVID-19

Kehidupan Adea Ghafar 16-Apr-2020
Semoga dijauhkan dari positif COVID-19 © Funkeyfactory | Dreamstime.com

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan pertambahan kes baru positif harian COVID-19 di Malaysia hari ini telah kembali meningkat kepada tiga angka dengan 110 kes baru, berbanding 85 kes semalam. Angka ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 5,182 kes. Dari sisi yang lebih menggembirakan, bilangan kes yang telah pulih dan dibenarkan keluar terus menunjukkan perkembangan baik iaitu sebanyak 119, melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata statistik kes kematian COVID-19 yang telah direkod menunjukkan bahawa 62.6% daripada kes kematian membabitkan golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas. Jika dilihat daripada faktor komorbiditi, (komorbiditi ialah dua atau lebih penyakit yang dihidapi secara serentak pada masa yang sama) terdapat 80.7% kes kematian yang merangkumi penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lain-lain.

Mengikut statistik semasa Malaysia, kadar insiden COVID-19 bagi 100,000 orang, kumpulan umur tertinggi adalah bagi ang berumur 55-59 tahun dan juga 60-64 tahun, Menurut Dr. Noor Hisham, pada mulanya statistik menunjukkan dua kumpulan umur yang paling tinggi kes positif COVID-19 adalah 20-24 tahun dan 56-59 tahun. Namun apabila bilangan kes-kes dipadankan dengan populasi bagi setiap kumpulan umur, jelas dilihat bahawa kadar insiden tertinggi COVID-19 bagi 100,000 orang adalah mereka yang berumur 55-59 dan 60-64 tahun.

Beliau menegaskan, fakta ini adalah isu global yang dihadapi oleh negara-negara lain yang terjejas dengan pandemik COVID-19. Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik. Oleh itu, adalah sangat penting bagi kumpulan warga emas untuk mendapatkan rawatan segera walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak. Ini adalah kerana faktor kebolehpulihan dan prognosis supaya sembuh daripada jangkitan COVID-19 adalah lebih baik sekiranya rawatan dimulakan secepat mungkin.

Ahli keluarga seperti anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas harus menunjukkan tanggungjawab dalam memastikan golongan warga emas mendapat rawatan segera jika tidak sihat, bekalan ubatan mencukupi dan temu janji rawatan sentiasa dipatuhi. Untuk khidmat nasihat, orang ramai boleh menghubungi Virtual Health Advisory melalui portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari. Pesakit juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pembekalan Ubat Melalui Pos (UMP) bagi membolehkan ubat dihantar terus ke rumah pesakit tanpa perlu pergi ke hospital atau klinik kesihatan.