Waris pelakon lagak ngeri ‘The Walking Dead’ maut ketika penggambaran dapat pampasan RM33 juta

Uncategorized Hafiz Firdaus 21-Dis-2019

WARIS mendiang John Bernecker, 33, seorang pelakon aksi lagak ngeri yang maut akibat terjatuh dari ketinggian 20 kaki (6.09 meter) di set penggambaran siri popular The Walking Dead, telah diberikan pampasan sebanyak $8.6 juta (USD) oleh AMC Networks dalam satu penjurian di Mahkamah Negeri Gwinnett County, Atlanta.

Menurut agensi Reuters, Ibu bapa John Bernecker telah menyaman syarikat penerbitan hiburan AMC Networks atas kegagalan menerapkan langkah keselamatan berikutan aspek kewangan dan perubahan jadual kerja.

Peguam, Jeff Harris berkata, syarikat itu telah cuai mengikut piawai keselamatan industri dan perlu bertanggungjawab atas insiden itu. Pampasan meliputi ganti rugi sivil tanpa tuntutan lain.