Warisan Rojak Manjung tersohor di Manjung

Makanan Chan Abdullah 04-Mei-2020
Warisan Rojak Manjung © facebook.com/rojakmanjung

Daerah Manjung merupakan salah sebuah daerah pelancongan yang terkenal di negeri Perak. Ramai pelancong dalam dan luar negeri yang berkunjung ke Manjung. Antara tempat pelancongan yang terkenal adalah Pulau Pangkor, Teluk Batik dan juga Bandar Lumut.

Tidak lengkap rasanya percutian jika tidak dapat menikmati makanan yang menyelerakan. Apatah lagi jika makanan tersebut turut menjadi salah satu sebab utama untuk berkunjung ke tempat tersebut. Begitu jugalah dengan Rojak Manjung. Rojak Manjung telah menjadi salah satu makanan yang popular di daerah Manjung. Tidak lengkap rasanya jika tidak singgah ke Restoran Warisan Rojak Manjung jika bercuti di Manjung.

Rojak Manjung adalah gabungan makanan yang terdiri daripada beberapa jenis makanan yang digoreng. Antaranya ialah cucur udang, timun dan tauhu. Rojak Manjung ini juga dihidangkan bersama kuah kacang bagi melengkapkan keenakan rasanya. Lebih istimewa, rojak manjung turut menyediakan pilihan untuk dihidangkan bersama paru lembu.

Selain Rojak Manjung, restoran ini juga turut menyediakan sarapan pagi dan makanan tengah hari. Antara menu istimewa yang wajib anda cuba, sudah pastinya ialah rendang cendawan. Keenakan rasanya memang memikat selera, nak makan begitu sahaja pun tidak menjadi masalah.

Sebelum dikenali sebagai Warisan Rojak Manjung, ianya dikenali sebagai Rojak Manjung. Lokasi restoran Rojak Manjung juga telah bertukar sebanyak dua kali. Kali pertama beroperasi di belakang bangunan Wisma Ganda dan kali kedua beroperasi di bangunan Arked MARA Sitiawan. Kini di bawah penjenamaan semula, Warisan Rojak Manjung beroperasi di hadapan pasar awam Sitiawan.

Selain terkenal dengan keunikan Rojak Manjung, restoran ini turut terkenal kerana kemesraan pemiliknya, Encik Kama. Encik Kama tidak lokek dengan senyuman dan menunjukkan layanan mesra bagi setiap pelanggan yang hadir ke restoran beliau. Selain keenakan makanan, keramahan beliau turut menjadi faktor pelanggan datang kembali ke restoran beliau. Harga-harga makanan yang ditawarkan juga adalah amat berpatutan.

Jika berkesempatan berkunjung ke daerah Manjung, jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri keunikan Rojak Manjung ini. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini, adalah digalakkan supaya menghubungi pihak restoran Warisan Rojak Manjung terlebih dahulu sebelum berkunjung ke sana, atau melihat laman Facebook Warisan Rojak Manjung untuk maklumat terkini.